Sidang Kemuncak ASEAN 2014, Sidang Kemuncak ASEAN-China (10+1), dan Sidang Kemuncak ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea (10+3) diadakan di Nay Pyi Taw, Myanmar hari ini. China, A.S., Jepun, Rusia dan pihak-pihak lain yang turut terlibat akan menerangkan pendirian masing-masing bagi menggalakkan kerjasama serantau.
Perdana Menteri China, Li Keqiang yang menghadiri persidangan tersebut akan menerangkan pendirian China untuk menggalakkan kerjasama serantau. Selain itu, pemimpin A.S., Jepun, Republik Korea, Rusia, India, dan Australia juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur. Siri persidangan ini mencerminkan pentingnya ASEAN sebagai wadah kerjasama serantau.
Persidangan Pemimpin ASEAN-A.S. diadakan pagi tadi. Presiden A.S., Barack Obama telah tiba di Nay Pyi Taw petang semalam selepas lawatan rasmi ke China. Bagaimana A.S. melaksanakan strategi "pengimbangan semula Asia-Pasifik", dan apakah komitmen Obama kepada negara-negara ASEAN dan tindakannya? Semua ini menjadi perhatian media antarabangsa.
Tujuan siri persidangan Asia Timur adalah untuk menggalakkan kerjasama, namun perselisihan pendapat tidak dapat dielakkan. Contohnya, ASEAN sedang berada pada fasa yang penting untuk menyelesaikan pembinaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), namun negara-negara ASEAN masih mempunyai pendapat yang berbeza tentang cara membatalkan halangan bukan tarif, menggalakkan pengaliran modal dan tenaga insan, serta perbincangan mengenai perjanjian perdagangan perkhidmatan dan pelaburan. Oleh itu, negara-negara ASEAN perlu duduk berunding untuk menyusun pelan induk ke arah integrasi. Selain itu, kerjasama antikeganasan juga dijangka akan menjadi topik perbincangan yang hangat dalam siri persidangan kali ini.
Mengenai isu Laut China Selatan, China dan ASEAN mematuhi "prinsip dua perkara", iaitu perselisihan patut diselesaikan melalui rundingan langsung oleh negara-negara yang terlibat; di samping itu, China dan ASEAN bersama-sama memelihara kedamaian, kestabilan dan keamanan Laut China Selatan serta menggalakkan perbincangan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.