Cari:
Presiden Xi Bakal Hadiri Sidang Kemuncak G20
2014-11-14 12:42:58 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping berlepas dari Beijing untuk menghadiri Sidang Kemuncak ke-9 Kumpulan 20 (G20) di Brisbane pada 15 dan 16 November nanti, sebelum mengadakan lawatan rasmi ke Australia, New Zealand dan Fiji. Ketua Pengarah Jabatan Ekonomi Antarabangsa Kementerian Luar China, Zhang Jun menyatakan bahawa lawatan ini merupakan satu lagi aktiviti diplomatik penting oleh pemimpin China, yang mencerminkan China amat mementingkan serta bersikap membina dan bertanggungjawab terhadap ekonomi global. Katanya, "Presiden Xi akan membentangkan cadangan China mengenai situasi ekonomi global, pembaharuan, perdagangan, pekerjaan dan sumber tenaga, selain berkongsi pengalaman China dalam proses menggalakkan pembaharuan dan keterbukaan, serta peluang dan penjana baharu dalam perkembangan semasa ekonomi China, supaya pihak-pihak berkenaan dapat berusaha bersama-sama untuk menggalakkan G20 memainkan peranan yang lebih besar."

Tema Sidang Kemuncak G20 kali ini ialah "pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan mencegah risiko". Para pemimpin akan memfokuskan situasi ekonomi dunia, perdagangan antarabangsa, sumber tenaga serta kemampuan mencegah risiko ekonomi.

Menurut Zhang Jun, antirasuah menjadi tumpuan perhatian pelbagai negara berikutan Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Pemimpin APEC yang baru berakhir di Beijing. Para peserta dalam Sidang Kemuncak G20 kali ini dijangka akan meningkatkan kerjasama antirasuah dalam beberapa bidang. Katanya, "Kita khususnya akan meningkatkan kerjasama dalam memburu pesalah dan mendapatkan kembali aset yang digelapkan, antaranya termasuk menghalang pesalah daripada memasuki negara supaya tidak memberikan suaka kepada mereka. 21 anggota APEC telah mencapai persepakatan yang penting, sekiranya G20 pula dapat mencapai konsensus dalam bidang ini, maka kita dapat menjalinkan jaringan antirasuah yang meliputi seluruh dunia."

Selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20, Presiden Xi akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia, New Zealand dan Fiji. Penolong Menteri Luar China, Zheng Zeguang menyatakan bahawa lawatan Xi kali ini amat penting bagi meningkatkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara China dengan negara-negara tersebut. Katanya, "Presiden Xi akan menyampaikan ucapan mengenai dasar China terhadap rantau negara-negara kepulauan di Pasifik dan menjelaskan langkah bantuan dan sokongan China terhadap pembangunan negara-negara tersebut. Kami percaya, Presiden Xi melawat ke Fuji dan mengadakan rundingan dengan pemimpin negara-negara kepulauan yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China akan menunjukkan hala tuju perkembangan hubungan China dengan negara-negara berkenaan pada masa depan dan memperkukuh lagi persahabatan tradisional antara satu sama lain. China akan memeterai siri dokumen kerjasama dengan negara-negara berkenaan yang melibatkan pembiayaan, pendidikan, latihan dan pembinaan infrastruktur."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China