Cari:
Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-17 Berhasil
2014-11-17 15:51:27 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang yang menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN (10+1) ke-17 di Nay Pyi Daw, Myanmar pada 13 November lalu telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemimpin 10 negara ASEAN tentang usaha memperkasakan kerjasama China-ASEAN. Hasil perbincangan itu, banyak persepakatan dicapai. Sarjana China berpendapat bahawa sidang kemuncak kali ini mempunyai banyak kandungan yang menjadi tumpuan umum.

Li dalam ucapannya mengemukakan beberapa cadangan bagi merealisasikan visi membentuk komuniti berkongsi masa depan China-ASEAN, termasuk besama-sama menggaris strategi pembangunan hubungan China-ASEAN, menaiktarafkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), mempercepat pembinaan jaringan asas kesalinghubungan, meneroka kerjasama maritim, meningkatkan kerjasama pragmatik dalam bidang keselamatan, giat meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti sosiobudaya, sains dan teknologi serta perlindungan alam sekitar.

Sarjana dari Institut Kajian Asia Selatan, Asia Tenggara dan Oceania, Institut Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, Luo Yongkun berpendapat bahawa cadangan PM Li supaya China mempergiat rundingan dengan ASEAN bagi menandatangani Perjanjian Persahabatan Berjiran dan Kerjasama China-ASEAN paling menarik perhatian dalam sidang kali ini. Beliau berkata,

"China mengemukakan lagi hasrat untuk menandatangani perjanjian hubungan baik sesama tetangga dengan ASEAN. Dokumen undang-undang atas inisiatif China ini akan mengukuhkan semangat kejiranan dan kerjasama bersahabat antara China dan ASEAN."

Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Antarabangsa, Institut Penyelidikan Ekonomi Luar Negeri, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Zhang Jianpin pula berpendapat bahawa aspek kesalinghubungan dan sokongan kewangan antara yang paling menarik dalam sidang kali ini. China telah mengumumkan penubuhan Tabung Laluan Sutera berjumlah USD 40 bilion, dan akan memulakan pemungutan pusingan kedua berjumlah USD 3 bilion untuk Tabung Kerjasama Pelaburan China-ASEAN. Selain itu, Bank Pembangunan Negara China akan menyediakan USD 10 bilion sebagai pinjaman khas infrastruktur China-ASEAN. Sementara itu, China dan 10 negara ASEAN akan menjadi pengasas bagi Bank Pelaburan Infrastruktur Asia. Kesemua ini akan menyediakan sokongan kewangan kepada kesalinghubungan.

Usaha menaiktarafkan CAFTA dan menyelesaikan rundingan berkenaan menjelang penghujung tahun 2015 juga menarik perhatian ramai. Zhang berpendapat, penaiktarafan CAFTA bukan sahaja bermanfaat bagi pembentukan rangka Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), tetapi juga mendorong pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (APFTA).

Di samping itu, Luo Yongkun berkata, PM Li mencadangkan supaya tahun 2015 ditetapkan sebagai Tahun Kerjasama Maritim China-ASEAN, selain menubuhkan pusat kerjasama maritim bagi memperkasakan kerjasama dan dialog antara agensi penguat kuasa undang-undang maritim. Luo menyifatkan kerjasama maritim sebagai suatu inovasi dalam hubungan diplomasi antara China dan ASEAN. Beliau juga berpendapat bahawa kerjasama pragmatik dalam bidang keselamatan akan memberi jaminan kepada kerjasama ekonomi dan politik bilateral, yang turut membantu meningkatkan kesalingpercayaan antara China dan ASEAN.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China