Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde mengadakan lawatan ke China pada 19 hingga 23 Mac ini. Ini merupakan lawatan keenam beliau ke China sejak menyandang jawatan itu. Ketika diwawancara sebelum bertolak, beliau menyatakan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi China menjadi perlahan, namun negara ini tetap enjin utama ekonomi global. Pada masa yang sama, China perlu melaksanakan pembaharuan dengan tegas untuk mengelakkan risiko yang lebih besar.
Lagarde menyatakan, IMF mengalu-alukan tindakan kerajaan China menurunkan sasaran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada kira-kira 7%, yang hampir sama dengan unjuran IMF iaitu 6.5% hingga 7%.
Sejak tahun lalu, pertumbuhan entiti ekonomi baru muncul termasuk China menjadi perlahan, manakala ekonomi AS menunjukkan momentum baik untuk pulih. Oleh sebab itu, ramai orang berpendapat bahawa AS satu-satunya enjin yang mendorong ekonomi dunia. Sehubungan itu, Lagarde menyatakan, dalam tempoh tujuh tahun lalu, China menyumbang satu pertiga pertumbuhan ekonomi dunia. China akan terus menjadi pemacu utama ekonomi dunia. IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi China pada tahun ini dan tahun depan masing-masing 6.8% dan 6.3%. Meskipun menjadi perlahan, namun kadar ini masih dua kali ganda kadar pertumbuhan ekonomi global.
Tambah beliau, IMF amat berminat terhadap pembaharuan yang sedang dijalankan di China dan mahu ikut serta. IMF juga tertarik dengan strategi "Satu Jalur, Satu Laluan" China. Menurut hasil penyelidikan IMF, penambahan pelaburan infrastruktur akan merangsang permintaan dalam jangka pendek, sekali gus meningkatkan produktiviti dalam jangka panjang. Dalam tempoh empat tahun yang akan datang, pelaburan infrastruktur yang berkualiti tinggi berserta langkah-langkah lain untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi akan menambah output lebih USD 2 trilion untuk ekonomi global. Di samping itu, mekanisme kerjasama yang sedia ada dan baharu akan melengkapi kekurangan pelaburan infrastruktur, dan melepaskan potensi ekonomi serantau.
Menyentuh mengenai pembaharuan kuota dan tadbir urus IMF pada tahun 2010 yang terbantut akibat halangan AS, Lagarde menyatakan, pembaharuan itu berkaitan dengan kebolehpercayaan, kesahihan dan keberkesanan IMF. Maka, IMF komited mendorong pembaharuan berkenaan. Beliau juga akan terus berusaha ke arah itu.