Cari:
Indonesia Berharap China Bantu Pembangunan Infrastruktur
2015-03-24 13:43:05 CRI Cetak

Atas undangan Presiden China, Xi Jinping, rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo akan menjalankan lawatan rasmi ke China pada 26 hingga 28 Mac ini serta menghadiri majlis perasmian Forum Asia Bo'ao di provinsi Hainan. Ketika diwawancara oleh wartawan, Presiden Joko menyatakan bahawa China dan Indonesia mempunyai peluang kerjasama baharu dalam bidang pelaburan dan perdagangan, dan beliau berharap China dapat menambah pelaburan dalam pembinaan infrastruktur di Indonesia.

Selepas menyandang jawatan Presiden pada bulan Oktober tahun lalu, Joko Widodo telah mengadakan lawatan ke China buat pertama kali pada bulan November. Dalam lawatan itu, selain menghadiri Sidang Tidak Rasmi Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Beijing, beliau telah melawat bandar Tianjin dengan menaiki kereta api kelajuan tinggi China. Joko menyatakan bahawa pembangunan pesat China telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi beliau, dan menjadi penggalak kepada Indonesia yang juga berharap dapat membangun dengan pesat seperti China.

Tahun ini ulang tahun ke-65 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dengan Indonesia. Joko menyatakan bahawa China dan Indonesia sahabat lama, hubungan kedua-dua negara terutamanya kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan mempunyai peluang untuk terus berkembang maju.

Menurut Joko, lawatannya ke China kali ini bertujuan menggalakkan pelaburan China ke Indonesia dan kerjasama pembinaan infrastruktur kedua-dua pihak. Beliau menganggap bahawa China kaya dengan pengalaman teknikal dan mampu melaksanakan projek infrastruktur dengan cepat. Indonesia berharap China dapat memberikan bantuan dalam bidang itu serta menambah pelaburan dalam pembinaan lebuh raya, landasan kereta api, pembekalan elektrik dan pelabuhan.

Indonesia antara negara yang berhasrat menjadi anggota pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB). Joko menyatakan bahawa banyak negara kekurangan dana dalam pembinaan infrastruktur, dan Indonesia sendiri memerlukan kira-kira USD 230.5 bilion. Keperluan ini tidak dapat dipenuhi jika Indonesia hanya bergantung pada badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB). Jadi, penubuhan AIIB tentu akan menggalakkan perkembangan ekonomi dunia.

Presiden China, Xi Jinping ketika melawat Indonesia pada tahun 2013 pernah mencadangkan supaya negara-negara berkenaan bersama-sama membina Laluan Sutera Maritim Abad ke-21. Sehubungan dengan cadangan ini, Joko menyatakan bahawa bagi Indonesia yang dua pertiga wilayahnya berupa lautan, membina pusat maritim dunia telah menjadi tugas pembangunan negara. Jika kedua-dua strategi itu dapat saling melengkapi, hasilnya tentu memberangsangkan.

Presiden Joko akan menyampaikan ucapan mengenai kesalinghubungan dalam majlis perasmian Forum Asia Bo'ao tahun ini. Beliau berharap forum kali ini dapat terus menggalakkan kerjasama pelaburan antara negara-negara di rantau ini khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China