Cari:
Sumbangan China dalam Perang Antifasis Dihargai Dunia
2015-07-06 14:21:48 CRI Cetak

Pada 7 Julai 1937, Peristiwa Jambatan Lugou tercetus, menandakan bermulanya perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun. Selepas berjuang selama lapan tahun, China memperoleh kemenangan, tetapi dengan pengorbanan 35 juta askar dan orang awam yang cedera dan maut. Menurut tokoh-tokoh dari seluruh dunia, China sebagai medan utama di Timur dalam Perang Antifasis Dunia, telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai yang membawa kepada kemenangan perang tersebut serta keamanan dunia.

Ketua Setiausaha Persatuan Veteran Perang Dunia II Britain yang terlibat dalam pendaratan di Normandy, Bartz menyatakan, peranan China dalam Perang Dunia II adalah jelas. Tentera China telah menghalang kemaraan Fasis Jepun, meredakan tekanan terhadap pakatan antifasis dunia dan membolehkan Britain, Perancis dan AS menumpukan usaha mereka untuk menentang tentera Hitler. Sekiranya Jepun dapat segera menduduki China dan bergabung tenaga dengan Fasis Jerman, tidak dapat dibayangkan bagaimana kesudahan Perang Dunia II. Beliau turut berkata, tanpa sumbangan China yang bertumpah darah menentang rejim fasis, sejarah pasti tidak seperti yang kita ketahui sekarang.

Naib Presiden Akhbar Harian Asia Thailand menyatakan, sumbangan China yang besar terhadap kemenangan Perang Antifasis Dunia perlu diberi penghormatan. Sebenarnya, perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun bermula dengan Peristiwa 18 September 1931, dan berlarutan 14 tahun hinggalah kemenangan diperoleh pada tahun 1945. Jika dibandingkan dengan itu, Perang Antifasis di Eropah bermula pada tahun 1939 dengan pencerobohan Hitler di Poland dan berakhir selepas enam tahun iaitu pada 1945. Jika dilihat dari segi masa atau skala perang, China yang menyaksikan 35 juta rakyatnya cedera dan mati, telah memikul tugas yang amat penting dalam Perang Antifasis Dunia. Perjuangan gigih China menentang Jepun akhirnya memberi kemenangan yang menjadi sumbangan paling penting bagi perang tersebut.

Penasihat kanan atas hal ehwal China, Kementerian Luar Austria, Profesor Kaminski menyatakan, berbeza dengan kerajaan Jepun yang masih belum secara rasmi membuat permohonan maaf atas jenayah perang, kerajaan Jerman dan Austria sudah pun berbuat demikian, bahkan menjalankan pembicaraan terhadap penjenayah selepas Perang Dunia II berakhir. Kesalnya, Jepun tidak memulakan proses kehakiman untuk menghukum penjenayah Jepun khususnya mereka yang terlibat dalam pembunuhan dan pengujikajian manusia yang kejam terhadap orang China.

Sehubungan dengan itu, Canselor Jerman, Angela Merkel ketika mengadakan lawatan ke Jepun pada tahun ini telah menegaskan bahawa Jepun perlu mengakui sejarah.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China