Cari:
Singapura Nantikan Peluang Baharu Laluan Sutera Maritim
2015-07-28 12:55:56 CRI Cetak

Forum bertemakan "Laluan Sutera Maritim Abad ke-21" dirasmikan di Singapura semalam. Forum perniagaan pertama anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) ini menarik penyertaan kira-kira 300 diplomat, sarjana dan tokoh-tokoh perniagaan dari Singapura, China dan negara-negara Asia lain. SBF yang mewakili kira-kira 22 ribu buah syarikat, merupakan dewan perniagaan paling besar di republik itu.

Peranan Singapura sebagai hab transit dan pangkalan pembekalan penting dalam Laluan Sutara Maritim boleh dijejaki seawal abad ke-18. Saudagar dan pelayar yang bersinggah di Singapura ketika itu telah membantu mendinamikkan negara yang asalnya hanya kampung nelayan ini. Maka, apabila Presiden China, Xi Jinping mengemukakan gagasan membina Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, tidak hairanlah anjuran tersebut segera memperoleh respons positif daripada pelbagai lapisan masyarakat di Singapura. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika diwawancara oleh wartawan menyatakan bahawa anjuran itu akan membawa peluang baharu kepada negaranya. Singapura selaku pusat logistik, komunikasi dan penerbangan global dapat menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk menjayakan pembinaan laluan maritim berkenaan.

Singapura, negara ASEAN pertama yang memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan China, tentu akan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21. Duta Kembara Singapura, Tommy Koh ketika menyampaikan ucaptama dalam forum tersebut menyatakan bahawa Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 akan merangsang sektor perdagangan, perkapalan, pelancongan dan pembinaan infrastruktur serantau, meningkatkan kesalinghubungan dan persefahaman antara rakyat pelbagai negara, serta menjana pertumbuhan ekonomi dan menambah peluang kerja. Beliau turut mencadangkan supaya gagasan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 diselaraskan dengan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN, agar saling melengkapi antara satu sama lain.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Luar Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Fu Ying ketika menyampaikan ucapan yang bertajuk "Impian Kesalinghubungan Asia-Eropah" dalam forum itu menegaskan bahawa Singapura dengan kelebihan uniknya dapat memainkan banyak peranan dalam pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21. Pertama, Singapura yang merupakan hab pelayaran, perkapalan dan logistik, mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik dan boleh terus menjadi pusat transit di Laluan Sutera Maritim Abad ke-21. Kedua, Singapura ialah pusat kewangan dan perniagaan matawang Renminbi luar pesisir kedua terbesar, negara itu mampu menyediakan perkhidmatan perdagangan, kewangan dan pelaburan kepada seluruh rantau ini. Dan ketiga, Singapura boleh menjadi negara pengantara China-ASEAN. China menanti-nantikan Singapura memainkan peranan positif dalam urusan serantau dan ingin melihat Singapura memainkan peranan utama dalam kesalinghubungan rantau ini.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China