Cari:
Abe Digesa Bentang Konsep Sejarah yang Tepat
2015-08-11 14:25:02 CRI Cetak

Selepas diumumkan bahawa Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan mengeluarkan Kenyataan Abe bersempena dengan ulang tahun ke-70 berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 14 Ogos nanti, pelbagai kalangan masyarakat Jepun menggesa Abe agar mewarisi kandungan utama Kenyataan Murayama dalam ucapannya itu. Mereka mendesak perdana menteri itu supaya mengakui dengan jelas sejarah penjajahan dan perang pencerobohan yang dilancarkan Jepun ekoran dasar negara yang salah, selain mengambil iktibar daripada sejarah itu dan memohon maaf dengan ikhlas. Tinjauan umum yang diumumkan Mainichi Shimbun semalam menunjukkan bahawa kadar sokongan terhadap Kabinet Abe telah menurun ke 32%, iaitu paling rendah sejak Shinzo Abe terpilih menjadi Perdana Menteri Jepun pada tahun 2012.

Katsuya Okada, pemimpin parti pembangkang Jepun, Parti Demokratik, menyatakan dalam sidang media pada 7 Ogos lalu bahawa ucapan yang bakal dikeluarkan Abe seharusnya mewarisi Kenyataan Murayama, dan sebarang kandungan yang mensia-siakan usaha perdana menteri dan kerajaan Jepun penggal sebelum ini tidak akan diterima.

Parti Komeito yang mentadbir Jepun bersama dengan Parti Liberal Demokrat juga bersikap serius terhadap Kenyataan Abe yang bakal dikeluarkan itu. Pemimpin Parti Komeito, Natsuo Yamaguchi ketika mengadakan pertemuan dengan Abe pada malam 7 Ogos lalu menggesa Abe menggunakan perkataan "penjajahan dan pencerobohan" dan "memohon maaf" dalam ucapannya.

Mantan Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, Yoko Komiyama juga menyiarkan rencana kelmarin yang menyatakan bahawa Kenyataan Abe perlu mengakui perang pencerobohan yang dilancarkan Jepun, serta mengambil iktibar daripada sejarah dan memohon maaf. Beliau berharap Abe menyampaikan ucapan yang tidak menimbulkan kekhuatiran pelbagai negara termasuk negara Asia.

Media utama Jepun baru-baru ini juga mengeluarkan rencana pengarang yang menggesa Abe mengakui perang pencerobohan dan memohon maaf dalam ucapannya.

Mainichi Shimbun dalam rencananya pada 7 Ogos lalu menyatakan bahawa Kenyataan Abe bersempena dengan ulang tahun ke-70 berakhirnya Perang Dunia Kedua itu bukanlah untuk membentangkan pendirian peribadi Abe mengenai sejarah. Selaku pemimpin Jepun, Abe perlu menyedari sifat kenyataan itu, iaitu kandungannya perlu membantu negara tersebut menjalinkan hubungan secara damai dengan jirannya.

Rencana Tokyo News pula menyatakan bahawa Abe dalam ucapannya nanti perlu menghormati keikhlasan rakyat yang ingin melahirkan keinsafan dan memohon maaf atas perang pencerobohan tersebut. Sekiranya tidak, masa depan Jepun dikhuatiri akan kelam.

Selain itu, Yomiuri Shinbun, badan media yang dianggap paling konservatif di Jepun juga menggesa Abe mengakui sejarah pencerobohan dengan jelas.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China