Jepun meraikan ulang tahun ke-70 berakhirnya Perang Dunia Kedua (WWII) dengan menerima kritikan dan bidasan hebat daripada China dan Korea Selatan berikutan perutusan Perdana Menteri negara itu, Shinzo Abe.
Pakar China berkata, Jepun masih enggan menunjukkan rasa kesalnya secara ikhlas terhadap sejarah pencerobohan. Sikap Abe itu jauh daripada yang diharapkan masyarakat antarabangsa, khususnya rakyat China dan Korea Selatan. Manakala, suara dari arena politik Seoul berpendapat, perbuatan "mengenang kembali sejarah" dan "memohon maaf" yang ditunjukkan melalui perutusan berkenaan adalah tidak mencukupi.
Abe dikecam keras kerana dalam perutusannya gagal memohon maaf atas pencerobohan Tokyo pada masa lalu, sebaliknya hanya menyatakan rasa kesal. Beliau juga mendakwa, generasi masa depan negara itu tidak perlu memohon maaf berhubung rekod Jepun semasa WWII.
Abe dalam perutusannya juga tidak menyebut tentang pencerobohan dan pemerintahan kolonial yang dilakukan Jepun secara langsung. Beliau hanya berkata bahawa "ugutan dan tindakan kekerasan tidak boleh lagi digunakan sebagai kaedah untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa", dan "pemerintahan kononial perlu ditamatkan di dunia sehingga ke akar umbinya". Sikap sebegitu juga dapat dilihat dalam isu hamba seks. PM itu masih enggan mengakui kekejaman tentera mereka dan mengemukakan permohonan maaf terutamanya kepada ribuan wanita yang dipaksa menjadi hamba seks sepanjang perang berkenaan.
Perutusan tersebut turut menerima kritikan bekas Perdana Menteri, Tomiichi Murayama kerana Abe didapati sengaja mengelak daripada menyebut tentang isu-isu utama yang menjadi perhatian ramai.
Murayama sebelum ini pernah mengakui sejarah penjajahan Jepun di khalayak ramai pada tahun 1995. "Ucapan Murayama" itu dianggap sebagai janji yang dibuat dengan penuh takzim oleh kerajaan Jepun kepada masyarakat antarabangsa. Namun begitu, ketika menyentuh tentang beberapa perkataan kunci dalam ucapan itu, seperti "penjajahan", "pencerobohan" dan "merenung dan meneliti sejarah dan memohon maaf", Abe menunjukkan sikap yang taksa. Media Korea Selatan membidas sikap Abe yang enggan mentaati dan menerima pakai semangat "Ucapan Murayama" itu sebagai langkah ke belakang.