Cari:
Tindakan Kejam Tentera Jepun di Asia Tenggara Tidak akan Dilupakan
2015-08-26 13:45:16 CRI Cetak

2 September tahun ini merupakan hari ulang tahun ke-70 Jepun menandatangani surat menyerah kalah secara rasmi, serta ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia. Di samping memperingati hari yang bersejarah ini, kita patut mengambil iktibar daripada peperangan yang mendatangkan kesengsaraan kepada seluruh umat manusia, supaya mengingati sejarah dan menghargai keamanan.

Jepun melancarkan Perang Pasifik pada 7 Disember 1941. Berikutan kekalahan Britain dan Amerika Syarikat (AS), Jepun berjaya menduduki Asia Tenggara dalam masa kurang separuh tahun. Kezaliman tentera Jepun yang membunuh, menyeksa dan menganiaya rakyat tempatan ketika itu tidak dapat digambarkan. Menurut Naib Pengarah Pusat Kajian Asia Selatan dan Asia Tenggara, Institut Kajian Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, Zhang Xuegang, pemerintahan kejam Jepun di Asia Tenggara jarang-jarang diketahui umum, bahkan ada yang salah faham bahawa Jepun hanya menyasarkan kaum Cina. Sebenarnya, kezaliman Jepun tidak berakhir dengan penganiayaan rakyat tempatan, mereka turut merampas sumber dan memusnahkan budaya.

Menurut Kolonel Kanan He Xincheng dari Akademi Ketenteraan China, ketika menyebut tentang keganasan tentera Jepun di Asia Tenggara, tragedi yang sering terlintas dalam fikiran adalah "Kawat Maut Bataan" yang mengorbankan 15 ribu tawanan perang AS dan Filipina, dan "Landasan Kereta Api Maut Thailand-Myanmar" yang meragut nyawa 16 ribu tentera Pihak Berikat serta 90 ribu pekerja Asia Tenggara.

Dalam pada itu, masalah wanita dipaksa menjadi hamba seks merupakan lembaran paling hitam dalam sejarah umat manusia pada abad ke-20.

Sarjana isu Jepun dari Pusat Kajian Hubungan Antarabangsa, Universiti Hal Ehwal Luar China, Prof. Zhou Yongsheng berpendapat bahawa Jepun, negara feudal dan imperialis ketenteraan yang membangun lewat, lebih kejam ketika menduduki Asia Tenggara jika dibandingkan dengan penjajah Eropah yang membangun lebih awal.

Asia Tenggara yang kaya dengan sumber seperti minyak, getah asli, galian, bijirin dan kapas teruk dijarah oleh tentera Jepun. Disebabkan keperluan perang, Jepun turut mengubah struktur ekonomi di Asia Tenggara. Di sesetengah tempat, penanaman bahan makanan digantikan dengan bahan yang diperlukan tentera Jepun, hingga mengakibatkan kekurangan makanan dan kebuluran berleluasa.

Dalam pada itu, Jepun turut menghapuskan perasaan kenegaraan dan budaya tradisi orang tempatan melalui pelaksanaan pendidikan perhambaan di Asia Tenggara. Zhang Xuegang memberikan contoh bahawa Jepun dahulu memaksa penduduk Malaya menerima pendidikan Jepun dan menuntut orang Melayu tunduk ketika bertemu dengan warga Jepun, orang yang tidak berbuat demikian akan ditampar. Penceroboh Jepun pula tidak membenarkan warga Indonesia mengibarkan bendera kebangsaan dan menyanyi lagu kebangsaan mereka, memaksa warga Indonesia belajar bahasa Jepun dan menghalang mereka mendengar siaran radio asing. Pada pendapat Zhang, kekejaman Jepun di Asia Tenggara yang tidak terhitung itu memang amat menakutkan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China