2 September tahun ini merupakan hari ulang tahun ke-70 Jepun menandatangani surat menyerah kalah secara rasmi, serta ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia. Di samping memperingati hari yang bersejarah ini, kita patut mengambil iktibar daripada peperangan yang mendatangkan kesengsaraan kepada seluruh umat manusia, supaya mengingati sejarah dan menghargai keamanan.
Asia Tenggara yang terletak di tempat pertemuan benua Asia dan Oseania serta Lautan Hindi dan Pasifik, mempunyai kedudukan strategik yang amat penting sebagai hab pengangkutan maritim dan penerbangan dunia. Pada 7 Disember 1941, Jepun menyerang armada Amerika Syarikat (AS) di Pearl Harbor dan melancarkan Perang Pasifik, kemudian berjaya mengalahkan AS dan Britain serta menduduki Asia Tenggara dalam masa tidak sampai separuh tahun. Sarjana isu Jepun dari Pusat Kajian Hubungan Antarabangsa, Universiti Hal Ehwal Luar China, Prof. Zhou Yongsheng berpendapat bahawa terdapat beberapa sebab Jepun menceroboh Asia Tenggara. Katanya, "Pertimbangan dari segi strategi global, hasrat untuk berpadu tenaga dengan tentera Jerman dan Itali di Asia Barat, keperluan sumber strategik dan ketenteraan, perang dengan China dan AS, semua ini faktor yang menjadikan perlunya Jepun menduduki Asia Tenggara."
Sebenarnya, pencerobohan terhadap Asia Tenggara merupakan sebahagian strategi global Jepun. Kuasa militaris itu menetapkan serangan yang menyasarkan tiga arah, iaitu utara, barat dan selatan. Serangan ke arah utara menyasarkan Kesatuan Soviet kerana Jepun mahu bergabung kekuatan dengan Jerman, manakala serangan ke arah selatan bertujuan untuk menduduki Asia Tenggara dan Pasifik Barat Daya. Menurut Prof. Zhou Yongsheng, percerobohan terhadap Asia Tenggara itu dilakukan berdasarkan pertimbangan jangka panjang. Katanya, "Jika dilihat dari sudut pola dunia, Jepun mahu menduduki Asia Tenggara dan mewujudkan Kawasan Persemakmuran Bersama Asia Timur Raya yang mampu bertentang dengan AS di Pasifik Timur, menceroboh India di barat, serta berpadu tenaga dengan Jerman dan Itali di Asia Barat untuk memaksa Britain menyerah kalah, dan akhirnya berlawan dengan AS. Itulah strategi jangka panjang Jepun."
Selain itu, Jepun menceroboh Asia Tenggara untuk merampas sumber strategik. Asia Tenggara yang kaya dengan sumber seperti minyak, getah asli, galian, bijirin dan kapas teruk dijarah oleh tentera Jepun.
Militarisme dan fasisme merupakan punca Jepun mencetuskan perang pencerobohan. Dengan perjuangan bermati-matian rakyat China dan Asia Tenggara serta negara sekutu anti-Fasis, Itali, Jerman dan Jepun masing-masing menyerah kalah. Berdasarkan Deklarasi Kaherah dan Perisytiharan Potsdam, Jepun mengundurkan diri dari kawasan yang dicerobohinya dan menetapkan Perlembagaan Damai. Menurut fasal ke-9, Jepun melepaskan perang yang dicetuskan oleh kuasa negara dan kaedah menyelesaikan pertikaian antarabangsa dengan menggunakan ancaman kekerasan atau kekerasan, tidak memiliki tentera darat, laut, udara dan sebagainya, tidak mengiktiraf hak negara untuk berperang untuk selama-lamanya.
Kini, kuasa sayap kanan di Jepun sedang berusaha memujuk Diet meluluskan rang Undang-undang Keselamatan baharu. Sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, Jepun boleh menghantar tenteranya ke seberang laut atas alasan melaksanakan hak pertahanan diri kolektif. Tindakan ini menimbulkan kebimbangan baik dalam kalangan rakyat Jepun sendiri mahupun negara-negara jirannya.