China dan Kesatuan Soviet, medan perang utama di Asia dan Eropah dalam Perang Dunia II (WWII), telah membuat sumbangan besar dalam perjuangan untuk mengalahkan Fasis, dan menanggung kerugian yang tidak terhitung. Semasa perang tersebut, Kesatuan Soviet telah banyak menghulurkan bantuan kepada China, manakala China yang berjuang bermati-matian di medan perang Asia, berjaya mengekang kemaraan tentera Jepun, dan turut membantu Kesatuan Soviet menumpaskan Nazi Jerman, sekali gus membawa kemenangan seluruh perang.
Pakar Rusia berpendapat bahawa Parti Komunis China (PKC) menjadi tulang belakang dalam peranannya sebagai pelopor semasa perang menentang pencerobohan Jepun.
Naib Presiden Pertama Persatuan Persahabatan Rusia-China, Galina Kulikova dalam temu bual bersama Radio Antarabangsa China (CRI) menyatakan bahawa disebabkan China, Jepun terhalang untuk membuka medan perang kedua di Timur yang menyasarkan Kesatuan Soviet. Perjuangan China bukan sahaja membebaskan mereka sendiri, tetapi juga membantu Kesatuan Soviet memperoleh kemenangan di Barat.
Kulikova menegaskan bahawa peranan PKC dalam perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun sukar dinilai. PKC, selaku teras yang menggembleng tenaga seluruh rakyat, telah memberi sumbangan besar demi kemenangan perang tersebut.
Pakar isu China dari Rusia, Yury Tavrovsky berpendapat, walaupun berdepan dengan musuh yang kuat, China tetap tidak beralah, sebaliknya terus berjuang selama lapan tahun sehingga mencapai kemenangan akhir. Peranan PKC yang membolehkan China tidak tunduk kepada Jepun.
Pada tahun lalu, China mengumumkan keputusan untuk menyambut hari memperingati kemenangan perang rakyat menentang pencerobohan Jepun, dan pada tahun ini mengadakan perbarisan tentera. Menurut Tavrovsky, hal ini mencerminkan China tidak lagi dibelenggu kompleks "mangsa", dan lebih melihat diri sebagai "pemenang" perang itu. Dengan galakan gagasan "Impian China" dan pembangunan ekonomi, kesedaran identiti China telah berubah.
Kulikova pula menyatakan bahawa generasi yang pernah menyertai dan menyaksikan kemenangan perang berkenaan semakin berkurang, namun sejarah ganding bahu China dan Kesatuan Soviet untuk menentang Fasis tidak pudar mengikut peredaran masa. Generasi muda perlu ingat akan kemenangan yang dicapai generasi dahulu dengan bergadai nyawa.