Rancangan Lima Tahun ke-13, rancangan China untuk keluar dari perangkap pendapatan sederhana dan mewujudkan masyarakat kaya, turut mendapat perhatian ramai kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-100 penubuhan PKC.
Dalam tempoh 60 tahun pelaksanaan rancangan lima tahun pertama hingga ke-12, pembangunan sosioekonomi China mengalami perubahan yang besar.
Mengimbas kembali Rancangan Lima Tahun ke-12 bagi tempoh 2011-2015, ekonomi negara ini telah mencatatkan pertumbuhan yang mapan, manakala kehidupan rakyat bertambah baik. Berlatarbelakangkan pertumbuhan ekonomi global yang agak perlahan pada tahun 2011 hingga 2014, China memantapkan pelaksanaan dasar ekonomi makro di samping terus meningkatkan permintaan pasaran dan pembekalan yang efisien, sehingga mewujudkan operasi ekonomi yang rancak dan stabil, serta memperkukuh kekuatan negara pada keseluruhannya.
Namun, pengubahsuaian ekonomi merupakan usaha yang penuh dengan cabaran, terutamanya bagi China yang skala ekonominya begitu besar. Berdasarkan statistik ekonomi suku ketiga tahun 2015 yang diumumkan baru-baru ini, pertumbuhan ekonomi China mencatat kadar 6.9%, iaitu lebih baik daripada jangkaan. "Ekonomi normal yang baharu" ternyata memperlihatkan faedahnya secara beransur-ansur.
Rancangan Lima Tahun ke-13 akan menggalakkan penaiktarafan industri pembuatan serta pelaksanaan "Internet plus" yang menggalakkan integrasi teknologi maklumat dan pengindustrian. Dalam tempoh lima tahun yang akan datang, empat bidang yang akan mengalami pemodenan iaitu perindustrian, teknologi maklumat, urbanisasi dan pertanian, dan ini akan membantu China mewujudkan pembangunan yang berkualiti serta masyarakat yang kaya.