Cari:
Presiden Xi Bakal Hadiri Sidang G20, APEC
2015-11-11 14:32:41 CRI Cetak

Selepas mengakhiri lawatan ke Vietnam dan Singapura, Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lagi lawatan ke luar negara. Beliau kali ini akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) yang diadakan di Antalya, Turki pada 15 dan 16 November dan Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik(APEC) yang diadakan di Manila, Filipina pada 18 dan 19 November.

Sehubungan dengan sidang kemuncak G20 itu, Naib Menteri Kewangan China, Zhu Guangyao menyatakan bahawa sekarang pertumbuhan ekonomi dunia berada pada kadar yang paling rendah sejak tahun 2009 dan ekonomi dunia mengalami tekanan kemerosotan. Manakala, dasar monetari entiti ekonomi utama termasuk AS dan zon Euro yang berbeza telah merumitkan lagi pasaran kewangan dunia. Selain itu, pasaran baru muncul yang pernah menyumbang besar kepada ekonomi dunia sekarang juga menghadapi tekanan kemerosotan. Oleh yang demikian, Sidang Kemuncak Antalya dianggap berperanan untuk membangkitkan keyakinan dunia sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi dunia yang dinamik, seimbang dan berterusan.

Naib Menteri Luar China, Li Baodong memaklumkan bahawa dalam sidang itu nanti, Presiden Xi akan berkongsi pandangan dan anjurannya mengenai situasi ekonomi dunia semasa, serta membentangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ekonomi dunia. Beliau akan mengesyorkan pelbagai pihak bekerjasama untuk mengatasi cabaran dan bersama-sama mencari momentum baharu kepada pertumbuhan ekonomi. Beliau juga akan memperkenalkan dasar berkenaan China dan memberikan respons kepada pelbagai pihak mengenai isu China.

Selepas sidang kemuncak di Turki, Presiden Xi akan ke Filipina untuk menghadiri sidang APEC. Dalam sidang tersebut, Presiden Xi akan membentangkan dasar dan anjuran China mengenai kerjasama rantau Asia-Pasifik, memperkenalkan keadaan pelaksanaan hasil yang dicapai pada sidang APEC Beijing tahun lalu, menjelaskan dasar pembaharuan dan transformasi ekonomi China berkenaan untuk menunjukkan prospek ekonomi China yang cerah, memperkenalkan kemajuan dalam pembangunan "Satu Jalur, Satu Laluan" dan peluang baharu yang disediakan kepada rantau Asia-Pasifik dan dunia. Beliau akan membentangkan pandangan China mengenai perkembangan ekonomi Asia-Pasifik dan dunia, di samping menegaskan penjalinan hubungan rakan Asia-Pasifik agar pelbagai pihak bersama-sama menggubal rancangan pembangunan Asia-Pasifik yang menghadapi masa depan. Dalam tempoh sidang itu, Presiden Xi juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin anggota APEC berkenaan untuk membincangkan prospek kerjasama APEC dan kerjasama pragmatik bilateral.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China