Cari:
Penubuhan Komuniti Titik Bersejarah bagi ASEAN
2015-11-23 12:43:31 CRI Cetak

Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berakhir di Kuala Lumpur semalam. Sidang kemuncak yang bertemakan "rakyat kita, komuniti kita, hasrat kita" ini meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur yang mengumumkan penubuhan rasmi Komuniti ASEAN pada 31 Disember depan.

Perdana Menteri Malaysia, negara Pengerusi bergilir ASEAN tahun ini, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penutup menyatakan bahawa penubuhan komuniti tersebut merupakan titik bersejarah bagi seluruh rantau ini. Namun, meskipun kejayaan yang dicapai oleh ASEAN sejak ditubuhkan 48 tahun lalu amat cemerlang, namun ini hanyalah satu permulaan. Negara-negara ASEAN perlu terus berusaha bersungguh-sungguh demi mewujudkan integrasi yang menyeluruh. Beliau berkata, "Sidang kemuncak kali ini membawa makna yang paling besar sejak ASEAN ditubuhkan pada tahun 1967. Kita mengumumkan Komuniti ASEAN akan ditubuhkan pada 31 Disember, selain menetapkan visi ASEAN untuk tahun 2025."

Dunia baru mengalami beberapa insiden serangan ganas sebelum sidang kemuncak ini. Sehubungan dengan hal itu, Najib berkata, "Sidang kemuncak ini diadakan diselubungi keganasan dan ekstremisme, dan antikeganasan antara topik perbincangan yang menjadi tumpuan bersama. Kita komited untuk terus bergabung tenaga dan bersama-sama berjuang membanteras keganasan seperti Negara Islam (IS)."

Dalam pada itu, isu Laut China Selatan turut menjadi perhatian ramai dalam Sidang Kemuncak ini. Najib berkata, "Para peserta telah mencapai persepakatan mengenai isu Laut China Selatan, iaitu isu ini mesti diselesaikan dengan tidak memburukkan situasi, mematuhi undang-undang antarabangsa dan berdasarkan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan (DOC), bagi memastikan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC) dapat dicapai secepat mungkin. Dalam pada itu, satu prinsip penting yang turut ditekankan ialah pelayaran dan penerbangan selamat perlu dijamin di kawasan ini."

Dalam tempoh persidangan kemuncak, pemimpin negara-negara ASEAN turut mengadakan dialog bilateral dan multilateral dengan negara-negara rakan termasuk China, Jepun dan Korea Selatan, membincangkan kerjasama ekonomi, kesalinghubungan serantau, kerjasama maritim, perlindungan alam sekitar, usaha membanteras keganasan dan lain-lain.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China