Cari:
China-ASEAN: Jelaskan Haluan Pembangunan, Jalinkan Perkongsian Strategik
2015-11-24 14:56:32 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika menyampaikan ucapan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China yang baru diadakan di Malaysia menyatakan bahawa tahun depan merupakan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan rakan dialog China-ASEAN dan juga titik permulaan Pelan Tindakan bagi lima tahun yang baharu hubungan rakan strategik China-ASEAN.

Li Keqiang berkata, dalam usaha memperkukuh hubungan China-ASEAN, langkah-langkah seperti berikut adalah diperlukan. Pertama, menggerakkan pembinaan mekanisme kerjasama pembangunan China-ASEAN; kedua, mempercepat penaiktarafan kerjasama ekonomi dan perdagangan; ketiga, menyejajarkan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) dengan strategi pembangunan negara-negara terlibat; keempat, menggerakkan kerjasama kapasiti pengeluaran antarabangsa; kelima, meningkatkan taraf kerjasama keselamatan, dan keenam, merangsang pembangunan lestari di rantau ini.

Sehubungan dengan ini, Naib Pengarah Pusat Kajian Asia Pasifik, Akademi Sains Sosial China, Han Feng menyatakan, "Kenyataan Perdana Menteri yang amat pragmatik ini memang bertujuan untuk mempergiat kerjasama dua hala antara China dengan ASEAN. Daripada ucapan beliau, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian. Pertama, berdasarkan kerjasama China-ASEAN sebelum ini, kerjasama tersebut ternyata mempunyai keutamaan yang berbeza pada masa-masa yang berlainan. Kedua, kedua-dua pihak perlu menggerakkan kerjasama kapasiti pengeluaran dan kerjasama serantau."

Perdana Menteri Li Keqiang menyatakan bahawa pihak China menyokong penubuhan Komuniti ASEAN dan komited menghulurkan bantuan bagi mengurangkan jurang perbezaan pembangunan antara negara-negara ASEAN. Ketua Pengarah Institut Kajian Asia, Universiti Hal Ehwal Luar China (CFAU), Wei Ling menyatakan bahawa inisiatif Perdana Menteri itu membawa peluang penting bagi pembangunan ASEAN. Katanya, "Penubuhan Komuniti ASEAN pada penghujung tahun ini hanya satu permulaan, bantuan dan sokongan dari luar masih amat diperlukan. Antara yang paling penting bagi ASEAN pada masa ini ialah kesalinghubungan. Pembangunan kesalinghubungan dan penubuhan komuniti merupakan strategi dan peluang pembangunan bagi ASEAN. Dalam pada itu, inisiatif B&R anjuran China bukan sahaja akan membawa manfaat kepada China, tetapi juga peluang penting bagi negara-negara terlibat termasuk ASEAN. Inisiatif B&R menyejajarkan strategi China dengan ASEAN dalam bidang maritim, manakala mekanisme kerjasama Sungai Lancang-Mekong yang baru diwujudkan membantu China menjalin perkongsian strategik dengan ASEAN di darat. Oleh itu, tahun ini memang titik permulaan penting bagi kerjasama kedua-dua pihak kelak."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China