Cari:
Indonesia Tingkatkan Kawalan Keselamatan
2015-11-26 13:11:42 CRI Cetak

Kumpulan penggodam "Anonymous Hacker" mengumumkan beberapa sasaran serangan kumpulan ekstrimis Negara Islam (IS) yang seterusnya berikutan serangan ganas di Paris, antaranya termasuk Indonesia, negara jumlah penduduk Muslim terbesar di dunia. Tindakan IS, yang selama ini giat menyebarkan ideologi dan merekrut anggota di Indonesia, menetapkan negara itu sebagai sasaran serangannya adalah di luar jangkaan.

Kegiatan IS menyebar propaganda dan merekrut anggota di Indonesia sudah bermula sejak sebelum masyarakat antarabangsa mengawasi kumpulan pengganas ini. Selain mendapat sokongan, IS turut memperoleh bantuan kewangan dan berjaya menarik segelintir anggota masyarakat untuk "berjihad" di Syria.

Selepas negara-negara di dunia termasuk Indonesia melabel IS sebagai pertubuhan ekstrimis, IS tetap terus bekerjasama dengan beberapa pertubuhan ekstremis di Indonesia untuk mengumpulkan dana dan anggota.

Yang menjadi kebimbangan ramai, kegiatan IS di Indonesia dan negara-negara jirannya semakin meningkat. Baru-baru ini, polis Indonesia telah menahan empat anggota IS warga Turki yang memasuki Indonesia dari Malaysia. Tujuan mereka ialah berhubung dengan militan Indonesia yang menyokong IS. Dalam pada itu, polis Malaysia pula telah menahan tiga suspek termasuk seorang warga Indonesia, yang terlibat dalam kes mengancam untuk melancarkan serangan ganas di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pakar Jabatan Antikeganasan Negara Indonesia, Wawan Purwanto ketika mengulas tentang kemungkinan Indonesia menjadi sasaran serangan IS yang seterusnya menyatakan bahawa terdapat beberapa sebab senario tersebut mungkin berlaku. Pertama, Indonesia mempunyai penduduk Muslim yang terbanyak di dunia. Tambah pula, kumpulan ekstremis semakin banyak di negara itu. Sekiranya kejadian ganas berlaku di negara itu, ia akan memberikan pengaruh yang amat besar. Kedua, semakin ramai warga Indonesia mempunyai rasa sokongan malah simpati terhadap ideologi "Naz'ah al-Khilafah" anjuran kumpulan ekstrimis. Ini juga antara faktor utama yang merangsang kegiatan pengganas.

Kerajaan Indonesia yang jelas menyedari bahaya dan ancaman IS telah mengharamkan kumpulan ekstrimis itu pada bulan Ogos tahun lalu, dan mengarahkan tentera, polis, badan antikeganasan dan perisikannya menangkap anggota IS dan menumpaskan sindiket itu bagi menghalang IS daripada terus merancang kegiatan ganas.

Dalam pada itu, Indonesia turut meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan berpenduduk padat. Contohnya, pihak berkuasa akan menempatkan lebih 2,000 anggota tentera untuk turut terlibat dalam kerja kawalan keselamatan di lapangan terbang Soekarno-Hatta Jakarta bermula bulan Disember nanti. Bali yang pernah mengalami serangan ganas juga diberikan tumpuan perhatian. Polis Bali meningkatkan pemeriksaan terhadap kapal dan anak kapal, selain meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang Bali dan kawasan berpenduduk padat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China