Cari:
China Pergiat Rundingan FTA pada 2016
2016-01-07 14:06:30 Agensi Berita Xinhua China Cetak
China berusaha untuk mempergiat rundingan berhubung pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bilateral dan multilateral bagi mengoptimumkan susunan kawasan perdagangan bebas berkenaan pada tahun ini. Demikian dinyatakan oleh Jurucakap Kementerian Perdagangan China (MOFCOM), Shen Danyang semalam.

Shen dalam sidang media pertama pada tahun 2016 berkata, China akan menggalakkan penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dengan secepat mungkin. Beliau menambah, China dan Rusia juga akan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan perdagangan bilateral berikutan kemerosotan ketara jumlah dagangan dua hala pada tahun 2015. Shen menyatakan bahawa China telah memeterai dan melaksanakan 14 buah perjanjian perdagangan bebas yang melibatkan 22 buah negara dan wilayah, dengan rakan dagangan di rantau Asia, Amerika Latin, Oseania dan Eropah. Kawasan perdagangan bebas berkenaan menggiatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan negara dan wilayah lain, dan membuahkan hasil yang saling menguntungkan.

Menurut Shen, pada tahun 2016, China akan mempercepat pembentukan dan pembinaan jaringan kawasan perdagangan bebas yang menyasarkan negara-negara jiran dan negara-negara terlibat dalam inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) bahkan seluruh dunia. Hal ini akan membantu syarikat China memanfaatkan dasar keutamaan FTA dengan lebih berkesan agar mengoptimumkan susunan kawasan perdagangan bebas berkaitan.

Beliau berkata,

"Kami akan berusaha agar protokol tentang penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China ASEAN (CAFTA) dikuatkuasakan dengan secepat mungkin, menjayakan rundingan mengenai perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan rundingan penaiktarafan perjanjian perdagangan Bebas China-Singapura, dan menggalakkan rundingan kawasan perdagangan bebas China, Jepun dan Korea Selatan, China dengan Sri Lanka, China dengan Maldives, serta rundingan fasa kedua mengenai kawasan perdagangan bebas China dan Pakistan dapat mencapai kemajuan. Di samping itu, rundingan kawasan perdagangan bebas dengan Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (CCASG) juga akan dipulihkan semula secepat mungkin dan pengajian strategik bersama Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (APFTA) akan dipercepat. Selain itu, rundingan tentang kawasan perdagangan bebas China dan Israel akan diadakan pada waktu yang sewajarnya. China juga akan mendorong rundingan kawasan perdagangan bebas dengan negara-negara sepanjang B&R pada 2016."

Jurucakap ini memaklumkan bahawa China dan negara-negara di rantau Eurasia turut memperkasakan penyelarasan strategi dan kerjasama pada tahun 2015 yang merupakan tahun pertama bagi pelaksanaan strategi B&R, dan kedua-dua pihak telah membuahkan pelbagai hasil yang memuaskan untuk menggalakkan pembinaan "Jalur Ekonomi Laluan Sutera".

Beliau berkata,

"MOFCOM dan lapan buah negara kawasan Eurasia telah menandatangani dokumen kerjasama untuk bersama membangunkan "Jalur Ekonomi Laluan Sutera". Sasaran jangka panjang untuk membina kawasan perdagangan bebas telah ditetapkan bersama dengan Persatuan Ekonomi Eurasia (EAEU). Pelbagai projek pembinaan termasuk lebuh raya, pengangkutan logistik transnasional, infrastruktur sumber tenaga dan taman kerjasama ekonomi dan perdagangan di luar negara juga telah diselesaikan pada tahun 2015."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China