Cari:
UnionPay Berkembang Pesat di Thailand
2016-02-26 14:04:37 CRI Cetak

Standard kad bank UnionPay, yang dibangunkan sendiri oleh China, telah menjadi standard industri perbankan Thailand selepas diperkenalkan di negara itu pada tahun lepas.

Pada 24 Februari lalu, syarikat UnionPay Antarabangsa bersama dengan empat bank komersial Thailand mengumumkan penubuhan rasmi Rangkaian Pembayaran Thailand (TPN) yang berdasarkan standard teknologi UnionPay. Ini merupakan sistem perkhidmatan rangkaian kad debit tempatan pertama bagi Thailand, dan juga kali pertama UnionPay menyediakan perkhidmatan sistem dan rangkaian kad bank di luar negara melalui usaha sama seperti ini.

Menurut Presiden UnionPay China, Ge Huayong, usaha sama ini membolehkan pihaknya berkongsi pengalaman perkhidmatan kad bank serta teknologi dan rangkaian yang canggih dan selamat, untuk membantu meningkatkan pembangunan pasaran e-pembayaran tempatan.

Dengan sokongan Bank Pusat Thailand, syarikat UnionPay Antarabangsa dan Bangkok Bank Thailand menubuhkan syarikat TPN pada September 2014, yang menawarkan perkhidmatan pensuisan dan pembayaran antara bank tempatan dengan kad debit UnionPay. Thailand turut akan mewujudkan jenama kad debit TPN sendiri yang boleh digunakan di lebih 150 buah negara dan kawasan di dunia.

Menurut laporan media tempatan, penubuhan syarikat TPN sejajar dengan pelan induk e-pembayaran yang dikemukakan oleh kerajaan Thailand, dan membantu mewujudkan masyarakat tanpa tunai. Dalam pada itu, TPN selaras dengan syarat bank pusat Thailand yang ditetapkan pada tahun 2012, iaitu kesemua urus niaga menggunakan kad debit tempatan perlu diproses di dalam negara bagi mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan e-pembayaran.

Tiga bank komersial Thailand yang lain turut memeterai memorandum persefahaman berkenaan dan melahirkan hasrat untuk menjadi pemegang saham TPN.

Kini, kebanyakan kad debit yang diedarkan di Thailand dikeluarkan oleh Visa. Maklumat transaksi kad ini mesti diproses di Singapura atau Amerika Syarikat (AS). Oleh sebab kos transaksi lebih tinggi, peniaga Thailand biasanya keberatan untuk menerima kad ini, terutamanya bagi transaksi jumlah kecil. Manakala, pemegang kad debit pula biasanya tidak menggunakan kad mereka kerana bimbang akan keselamatan. Kesemua masalah ini dapat diatasi oleh rangkaian TPN.

TPN akan mengeluarkan kad debit secara rasmi bermula pada bulan Mei nanti. Jumlah kad yang ditawarkan dalam tempoh setahun pertama dijangka mencatat tiga hingga lima juta.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China