Cari:
Beijing, Manila Setuju Pulih Hubungan Secara Menyeluruh
2016-10-21 15:14:50 CRI Cetak

Beijing dan Manila bersetuju untuk menjernihkan dan memajukan hubungan dua hala secara menyeluruh, menangani isu Laut China Selatan secara baik melalui dialog, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama maritim.

Persepakatan tersebut dicapai dalam pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Rodrigo Duterte di Beijing semalam.

Duterte yang tiba di Beijing Selasa lalu, diberi penghormatan dan sambutan meriah dengan tembakan meriam 21 das, sebelum pertemuan dengan Presiden Xi di Dewan Besar Rakyat.

Lawatan tersebut merupakan lawatan sulung Duterte ke China sejak menjawat jawatan Presiden Filipina, dan juga agenda lawatan pertama di peringkat tinggi kedua-dua negara sejak hubungan bilateral mula dipulihkan.

Presiden Xi yang meyakini keikhlasan Duterte untuk mengukuhkan ikatan kemesraan Manila-Beijing, menyifatkan lawatan ini sebagai titik permulaan baharu dalam hubungan kedua-dua negara.

Beliau menyatakan bahawa asas hubungan sesama tetangga serta hasrat untuk mengukuhkan kerjasama Beijing-Manila kekal tidak berubah, meskipun menempuhi onak dan ranjau. Beliau berharap lawatan ini dapat dijadikan peluang untuk membaiki hubungan bilateral secara menyeluruh, yang selaras dengan kepentingan bersama dan aspirasi rakyat kedua-dua negara.

Duterte pula menyatakan bahawa 41 tahun sudah berlalu sejak Filipina dan China menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1975, dan ikatan persahabatan kedua-dua negara telah diwarisi berabad-abad lamanya. China merupakan rakan sejati bagi Filipina dan persahabatan tradisional kedua-dua negara akan kekal kukuh. Beliau turut menzahirkan harapan agar hubungan dua hala Filipina-China terus dipererat.

Rundingan antara Presiden Xi dengan Presiden Duterte diadakan 40 minit lebih lama daripada jadual. Selepas rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara turut menyaksikan pemeteraian 13 dokumen kerjasama yang melibatkan perdagangan, pelaburan, kapasiti pengeluaran, pertanian, media, pemeriksaan kualiti, pelancongan, antidadah, kewangan, polis marin, infrastruktur dan lain-lain.

Naib Menteri Luar China, Liu Zhenming yang turut menyertai pertemuan tersebut memaklumkan kepada media bahawa kedua-dua pihak bersepakat untuk memulihkan hubungan secara komprehensif, termasuk menggerakkan semula beberapa mekanisme kerjasama dua hala serta mengeratkan interaksi di pelbagai peringkat.

Berhubung dengan isu Laut China Selatan, kedua-dua pihak bersepakat untuk menyelesaikannya melalui dialog berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai pada lima tahun lalu, selain meningkatkan kerjasama perikanan di perairan tersebut.

China bersedia mempergiat kerjasama dengan Filipina dalam bidang akuakultur dan dan pemprosesan produk akuatik bagi membantu nelayan setempat mengatasi masalah rezeki.

Penandatanganan perjanjian kerjasama antara jabatan polis marin menandakan bermulanya kerjasama maritim Beijing-Manila.

Selain delegasi yang terdiri daripada menteri luar, menteri pertahanan dan menteri kewangan, Duterte juga mengetuai satu rombongan seramai 300 usahawan ke Beijing. Naib Menteri Luar, Liu Zhenming memaklumkan bahawa kerjasama ekonomi dan perdagangan adalah antara tumpuan lawatan Duterte kali ini.

China dan Filipina bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dan memperkasakan kerjasama dalam bidang infrastruktur. China menyokong penglibatkan Filipina dalam pembinaan Laluan Sutera Maritim dan akan giat menyertai projek prasarana di negara itu.

Pembatalan amaran perjalanan ke Filipina yang diumumkan oleh Presiden Xi, diyakini akan meningkatkan ketibaan pelancong China di Filipina. Pada masa yang sama, China juga akan memulihkan pengimportan buah-buahan tropika seperti mangga dari Filipina. Kesemua hasil yang dicapai dalam pertemuan tersebut menandakan kedua-dua pihak bakal membuka dimensi baharu dalam kerjasama pragmatik.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China