Cari:
AS: Sekatan Perjalanan Enam Negara Islam Dikuatkuasakan
2017-06-28 10:17:22 CRI Cetak

Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) semalam memutuskan untuk membenarkan penguatkuasaan sebahagian daripada perintah sekatan perjalanan ke atas enam negara Islam dan semua pelarian ke negara itu sehingga ia disemak semula pada Oktober nanti.

Langkah yang disifatkan sebagai kemenangan kepada Presiden Donald Trump itu yang menegaskan sekatan terbabit penting bagi keselamatan Amerika di sebalik kritikan yang menyifatkan langkah tersebut sebagai pencabulan Perlembagaan negara itu.

Keputusan oleh mahkamah tertinggi AS itu mengecilkan skop kuasa oleh mahkamah lebih rendah yang sebelum ini menghalang sepenuhnya perintah eksekutif Trump pada 6 Mac selain badan kehakiman terbabit bersetuju untuk mendengar rayuan kerajaan dalam kes berkenaan.

Sekatan itu menyaksikan peng­gantungan visa baharu daripada dikeluarkan kepada rakyat Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen bagi tempoh sekurang-kurangnya 90 hari selain ia sebahagiannya membenarkan larangan selama 120 hari kepada semua pelarian daripada mema­suki Amerika.

Kedua-dua larangan itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh 72 jam berdasarkan satu memorandum yang dikeluarkan oleh pentadbiran Trump pada 14 Jun.

Walaupun bersetuju untuk mendengar kes itu pada hujung tahun ini, Mahkamah Agung AS tetap membenarkan sebahagian daripada sekatan itu dikuatkuasakan.

Secara khusus, mahkamah berkata, perintah eksekutif itu akan dikuatkuasakan ke atas warganegara asing yang tidak mempunyai tuntutan yang boleh dipercayai mengenai hubungan bona fide dengan orang atau organisasi Amerika.

Ini bermakna, individu daripada enam negara yang dinyatakan dalam perintah itu dan tidak pernah datang ke Amerika atau mempunyai hubungan yang tidak kuat dengan rakyat mahupun pertubuhan dari AS boleh dinafikan visa mereka dalam tempoh tiga bulan tersebut.

Namun, maksud sebenar hubungan bona fide masih menjadi perdebatan sehingga kini.

Seorang hakim, Clarence Tho­mas menegaskan, kakitangan ke­ra­jaan perlu tahu membezakan antara rakyat asing yang mempunyai kaitan dengan AS dan mereka yang terbukti sebaliknya.

sumber: UTUSAN

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China