Presiden China, Xi Jinping telah ditemui Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev di Rumah Tamu Negara Diaoyutai semalam.
Presiden Xi menyatakan bahawa China dan Rusia perlu memanfaatkan sepenuhnya mekanisme Pertemuan Berkala Perdana Menteri China-Rusia untuk memperhebat penyelarasan, meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga, pembuatan kelengkapan, pertanian dan aeroangkasa, serta terus merancakkan inovasi sains dan teknologi dalam kerjasama antara satu sama lain.
China dan Rusia juga disarankan melihat ekonomi digital yang merangkumi data besar, Internet untuk Segalanya (Internet of Things, IoT) dan bandar pintar sebagai penjana baharu pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, kedua-dua pihak akan menyambung usaha mengintegrasikan pembinaan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), berusaha menggalakkan projek pembinaan koridor pengangkutan antarabangsa di pesisir laut, di samping bekerjasama meneroka dan menggunakan laluan pelayaran di sekitar Kutub Utara agar membina sebuah "laluan sutera ais".
Medvedev pula menyatakan bahawa Kongres Kebangsaan ke-19 Parti Komunis China (PKC) telah menggaris pelan pembangunan China pada masa akan datang, amat bererti bagi China bahkan dunia.
Rusia berharap usaha membangunkan sosialisme bercirikan China pada era baharu ini terus mencapai kejayaan, dan yakin dalam proses itu perkongsian strategik komprehensif antara Rusia dan China akan turut berkembang dengan lebih mendalam dan menyeluruh.
Selepas lawatan Presiden Xi ke Rusia Julai lalu, hasil ketara dapat dilihat daripada kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang ekonomi, tenaga, pelaburan, inovasi, sosiobudaya dan penyelarasan antara B&R dengan EAEU.
Rusia amat berpuas hati terhadap hasil itu dan bersedia terus mengeratkan pertukaran dan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang di samping meningkatkan komunikasi dan koordinasi dalam urusan antarabangsa dan serantau.