Cari:
Cerita Tentang Gunung Huangshan
2009-07-23 19:35:45 CRI Cetak

Gunung Huangshan terletak di Provinsi Anhui bahagian selatan China. Ia merupakan kawasan pemandangan yang indah dan juga destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Kawasan Pemandangan Gunung Huangshan telah disenaraikan sebagai Warisan Budaya dan Alam Dunia oleh UNESCO, PBB pada tahun 1990. Kawasan Pemandangan Huangshan ini merupakan kawasan pemandangan yang pertama di China yang disenaraikan serentak dalam senarai Warisan Budaya Dunia dan Warisan Alam Dunia.

Pada masa dahulu, Gunung Huangshan dikenali sebagai Gunung Yishan kerana terdapat banyak batu hitam di gunung itu. Kenapa nama Gunung Yishan diubah menjadi Gunung Huangshan?

Menurut dongeng, Maharaja Huang merupakan nenek moyang kepada bangsa China. Maharaja ini dikatakan disayangi dan dihormati oleh rakyat semasa baginda mentadbir China selama lebih 100 tahun. Namun, disebabkan sudah lanjut usia, Maharaja Huang telah turun takhta dan Shao Hao menggantikannya.

Maharaja Huang merupakan seorang yang mencintai kehidupan. Beliau tidak ingin menjadi tua, uzur dan mangkat. Beliau berguru dengan mahaguru Agama Tao, Rong Chengzi dan Fu Qiugong untuk mengkaji ilmu membuat ubat panjang umur.

Agama Tao berasal dari China. Pada masa awal pembentukan Agama Tao, agama itu pernah melaksanakan usaha besar untuk mengkaji ilmu panjang umur. Menurut tradisi Agama Tao, mengkaji ilmu panjang umur mesti dibuat di tempat yang sesuai, iaitu gunung yang pemandangannya indah yang dilindungi oleh dewa. Maka Maharaja Huang bersama-sama dengan kedua-dua orang mahaguru tersebut mencari gunung yang indah yang sesuai untuk mengkaji ilmu panjang umur.

Setelah menjelajahi pelbagai tempat di China, akhirnya mereka tiba di Gunung Yishan di Provinsi Anhui, di selatan China. Di sini, puncak gunung tersebut tinggi mencakar langit. Awan laksana sutera putih terkatung-katung di tengah puncak gunung, dan kabus menyelubungi lembah gunung. Pemandangan di kawasan gunung Yishan amat indah, dan mereka berpendapat tempat ini sesuai untuk mengkaji ilmu panjang umur dan membuat ubat panjang umur.

Jadi, mereka pun mengkaji ilmu panjang umur dengan tekun dan membuat ubat panjang umur di Gunung Yishan. Setiap hari mereka menebang pokok, menghasilkan arang kayu dan merebus batu untuk membuat ubat panjang umur. Mereka tidak pernah menangguhkan usaha itu walau sehari pun baik hujan lebat mahupun angin kencang. Proses membuat ubat panjang umur itu semakin lama semakin sukar. Namun demikian, keazaman Maharaja Huang untuk mencapai kejayaan juga semakin besar.

Setelah berusaha selama 480 tahun, mereka telah berjaya membuat ubat panjang umur. Setelah memakan sebiji ubat panjang umur yang berwarna keemas-emasan, Maharaja Huang segera boleh terbang di udara dan rambutnya yang beruban juga menjadi hitam kembali. Tetapi kulitnya tetap berkedut kerana usianya sudah terlalu tua.

Ketika itu, terdapat air yang berwarna merah mengalir dari celah lereng gunung. Sumber mata air itu mengeluarkan wap yang beraroma. Fu Qiugong mengajak Maharaja Huang mandi dalam kolam mata air itu. Maharaja Huang pun mandi selama 7 hari berturut-turut dalam kolam mata air itum, hingga kedutan di kulitnya hilang dan kulitnya berubah menjadi kulit remaja yang licin dan sihat. Dengan demikian, Maharaja Huang telah berjaya menyelesaikan pengajian ilmu panjang umur dan menjadi dewa. Oleh sebab Maharaja Huang menjadi dewa di Gunung Yishan, maka Gunung Yishan diubah namanya sebagai Gunung Huangshan mengambil sempena nama baginda.

Dalam sejarah China terdapat banyak cerita tentang Gunung Huangshan. Salah satu daripada cerita-cerita itu berkaitan dengan penyair China yang terkenal pada zaman Dinasti Tang, iaitu Li Bai, dengan destinasi terkenal di Gunung Huangshan.

Kononnya, pada suatu hari, Li Bai bermimpi beliau telah tiba di suatu gunung yang pemandangannya indah. Beliau melihat sebatang berus besar yang tingginya puluhan meter, kelihatan seolah-olah tiang jed tersergam di puncak gunung. Beliau begitu gembira, dan berkata dalam hatinya, "alangkah baiknya kalau dapat berus sebesar itu, menulis sajak yang menggambarkan semua pemandangan indah di dunia dengan tanah sebagai bekas dakwat, air laut sebagai dakwat dan langit sebagai kertas". Ketika beliau mengambil berus besar itu, beliau terjaga dari mimpinya. Li Bai merasakan, pemandangan yang indah ini pasti wujud dalam dunia sebenar. Akhirnya beliau telah mendapati pemandangan indah dalam mimpi beliau itu di Gunung Huangshan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China