Cari:
Mengikuti Program Sangkutan di RTM
2009-07-06 13:27:06 CRI Cetak

(Oleh Fadil)

Saya berasa syukur kerana diberi peluang untuk mengikuti program sangkutan selama 20 hari di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini memanglah pengalaman yang amat bermanfaat bagi saya sebagai seorang wartawan yang bertugas di Bahagian Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China (CRI), kerana dapat mengetahui dengan lebih dekat tentang perkembangan masyarakat, kebudayaan dan adat resam penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia. Walaupun sudah empat kali saya menjejakkan kaki ke Malaysia sebelum ini, namun lawatan kali ini tetap meninggalkan kesan yang mendalam dan ingatan yang sukar untuk dilupakan, terutamanya keunikan masyarakat majmuk di negara ini.

Sejak mula menuntut di jurusan bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) pada tahun 1998, saya sudah mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh penduduk yang berbilang kaum, termasuk kaum Melayu, Cina, India dan beberapa etnik minoriti yang lain yang disebut sebagai masyarakat majmuk. Namun, selepas menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, barulah saya betul-betul memahami apa makna sebenar masyarakat majmuk ini di Malaysia.

Ketika pertama kali melawat Malaysia pada tahun 2001, saya berasa amat kagum apabila melihat Menara Kembar Petronas yang megah lagi cantik dan bangunan pencakar langit yang banyak terdapat di bandar raya Kuala Lumpur. Di samping itu, saya juga merasa amat seronok kerana boleh menghayati budaya yang unik dan berbeza daripada kaum Melayu, India dan Cina di negara ini. Keunikan dan keindahan budaya masyarakat majmuk di Malaysia boleh dilihat terutama sekali daripada pakaian, tarian, muzik tradisi dan adat-istiadat masyarakat pelbagai kaum tersebut. Identiti etnik yang dimiliki oleh setiap kaum di Malaysia memanglah satu aset yang amat bernilai atau kelebihan yang boleh dibanggakan oleh setiap warga Malaysia.

"Penuh istimewa, mempesonakan dan menakjubkan", itulah perkataan-perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan masyarakat majmuk di Malaysia. Walau bagaimanapun, perkataan yang paling sesuai untuk mencerminkannya ialah perkataan "harmoni". Walaupun penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum ini berbeza dari segi budaya, gaya hidup dan agama, namun mereka tetap hidup bersama-sama dengan harmoni dan saling menghormati dengan sikap toleransi yang tinggi. Hal ini boleh dilihat dengan nyata pada hari-hari perayaan bagi satu-satu kaum yang pastinya turut diraikan bersama oleh masyarakat kaum yang lain tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Ini memang sesuatu yang amat istimewa di Malaysia dan juga dianggap simbol semangat bersatu padu di negara ini. Di samping itu, ia juga membolehkan penduduk dari keturunan yang berbeza-beza ini untuk berkongsi nilai yang baik yang dianjurkan oleh setiap kaum dan memupuk semangat kekitaan. Pada saya, keharmonian ini bukan sahaja merupakan asas yang kukuh bagi perpaduan negara di Malaysia, malah, sekali gus menjadikan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum itu memiliki cita-cita yang sama dalam membangunkan negara dan mengeluarkan satu suara di arena antarabangsa.

Dengan itu, tidak hairanlah apabila Malaysia mencapai kejayaan yang begitu cemerlang dalam aspek pembangunan negaranya, dan mempunyai reputasi yang tinggi, bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malah di dunia, walaupun negaranya tidak besar dan penduduknya juga tidak ramai.

Pada pendapat saya, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai kaum merupakan faktor asas untuk memastikan pembangunan sesebuah negara dan kepentingan rakyatnya terjamin. Ini kerana, jika kita imbas kembali sejarah manusia dan lihat keadaan dunia sekarang, tiada sebuah negara pun yang menjadi makmur dan mendapat penghargaan daripada masyarakat antarabangsa jika kaum-kaum yang mendiaminya sentiasa berbalah dan bercanggah pendapat.

Saya yakin, dengan gagasan "Satu Malaysia" yang dilaungkan oleh kerajaannya, semangat kekitaan dan bersatu padu akan terus dipupuk dan disemarakkan lagi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Pada saya, walaupun gagasan "Satu Malaysia" ini dilahirkan dengan dua patah perkataan yang singkat sahaja, nanum ia mempunyai makna yang amat dalam, meliputi kepentingan dan maruah bersama, satu perjuangan dan bangsa Malaysia yang bersepadu.

Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini, diharap akan menikmati keamanan dan kemakmuran selama-lamanya, dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam pembangunan negara mereka pada masa hadapan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China