Cari:
Perkenalan tentang pemandangan yang indah di Xinjiang
2009-11-18 11:01:10 CRI Cetak

Mendengar perbincangan tentang lawatan ke wilayah Uygur dalam rancangan Suara Sutera membuat saya membayangkan bagaimanakah agaknya keindahan tempat itu?

Hyndun dari Java Tengah Indonesia

Hi, saudari Hyndun,

Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang yang terletak di bahagian barat laut China merupakan sebahagian Jalan Sutera pada zaman lampau. Pemandangan yang indah, kebudayaan yang gemilang, adat resam yang istimewa, dan makanan yang lazat-lazat menjadikan Xinjiang salah satu destinasi pelancongan yang paling berpotensi di China.

Pelbagai bentuk muka bumi dan keadaan alam sekitar seperti gunung-ganang yang tinggi, padang rumput yang luas, beting yang menghijau yang menakjubkan dalam padang pasir yang seolah-olah tiada sempadannya, hutan, tasik, sungai dan glasier dapat ditemui di wilayah Xinjiang yang luasnya 1.6 juta kilometer persegi ini. Keadaan ini menyebabkan banyak destinasi pelancongan dengan pemandangan yang amat indah terdapat di Xinjiang, seperti Gunung Tianshan, Tasik Tianchi dan padang pasir Taklamakan. Contohnya, pemandangan semula jadi yang indah di kawasan Kanas, di Xinjiang ini bukan sahaja menarik ramai pelancong, tetapi juga ramai jurugambar dalam dan luar negara. Kanas yang terletak di utara Xinjiang merupakan salah satu zon perlindungan alam yang terkenal di China. Kanas bersempadan dengan Rusia, Kazakhstan dan Mongolia. Destinasi pelancongan ini sangatlah jauh. Jika berlepas dengan kapal terbang dari Bandar Urumqi, ibu kota Wilayah Autonomi Xinjiang, pelancong akan sampai ke Bandar Altay dahulu. Dari bandar tersebut, pelancong perlu menaiki kenderaan selama 4 jam untuk sampai ke Kanas.

Setelah memasuki kawasan pergunungan yang dipenuhi pokok tusam ini, apabila gemersik air yang mengalir boleh didengar, ini bermakna pelancong sudah sampai ke Kanas. Yang paling menarik tentang Tasik Kanas ini ialah, ia terletak di kawasan pergunungan, dan tingginya dari paras laut ialah 1374 meter. Luasnya pula hampir 46 kilometer persegi. Tasik itu dikelilingi oleh pokok-pokok yang hijau merimbun dan gunung di sekitarnya pula dilitupi salji. Pemandangan alam di sini cukup indah. Di sini, terdapat pelbagai spesies binatang dan tumbuhan-tumbuhan yang bernilai dan hutan pokok birch putih.

Selain daripada pemandangan alam semula jadi, di wilayah ini terdapat banyak tapak tinggalan sejarah seperti kota kuno, gua patung Buddha, bangunan kuno dan lain-lain. Hal ini terjadi kerana Xijiang terletak di tepi Jalan Sutera yang makmur dalam sejarah, dan merupakan kawasan pertembungan budaya timur dan barat. Tamadun China, India dan Greece kuno sama-sama wujud dan berkembang di wilayah ini dengan tiga agama utama di dunia, iaitu Islam, Buddha dan Kristian tersebar di kalangan penduduk daripada etnik-etnik yang berbahasa Altay, Han-Tibet dan India yang hidup secara harmoni. Mereka hidup bersatu padu dan tekun bekerja membangunkan kampung halaman yang sama ini.

Dari segi sosiobudaya pula, kebudayaan etnik yang beraneka ragam dapat dihayati di wilayah Xinjiang ini sama ada dari segi seni bina bangunan, pakaian, tarian dan nyanyian, mahupun adat istiadat dan makanan.

Menurut statistik, jumlah pelancong dari seberang laut yang mengunjungi Xinjiang mencapai jumlah 363 ribu orang pada tahun 2008. Lawatan mereka ini mendatangkan pendapatan sebanyak 136 juta dolar Amerika kepada Xinjiang. Sementara itu, jumlah pelancong dalam negara pula mencapai jumlah 21.95 juta orang yang menghasilkan pendapatan hampir 20 bilion yuan RMB.

Bahagian Bahasa Mandarin CRI

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China