Masyarakat Malaysia memang terkenal dengan semangat prihatin dan sudah lama mengamalkan sikap bantu membantu antara satu sama lain hingga merentas sempadan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan. Bagaimanapun, nilai murni itu jika tidak disemai secara istiqamah akan merosot terutama kepada anak muda serta remaja. Oleh itu, galakan perlu dipertingkatkan dengan menganjurkan program amal membabitkan pelbagai lapisan masyarakat negara ini. Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program bantuan amal ke pelbagai negara bagi membantu rakyat yang menjadi mangsa konflik peperangan dan musibah akibat bencana alam mengembalikan masyarakat kepada tuntutan agama untuk sentiasa saling bantu membantu. Peribahasa Melayu mengatakan, cubit paha kanan, paha kiri terasa. Maka, begitu juga halnya hidup di dunia ini, perlu ada rasa simpati dan empati terhadap nasib malang dialami masyarakat di negara lain. Kegembiraan dalam memberi bantuan hanya datang jika wujudnya sifat ikhlas dalam diri. Niat utama memberi derma atau pertolongan adalah kerana sifat prihatin dalam diri. Jika niatnya adalah untuk menunjuk-nunjuk, pasti tiada kepuasan dalam diri. Tetapi ada juga kisah yang amat memeranjatkan di mana ketika saya sedang makan di sebuah restaurant, datang sepasang suami isteri meminta derma. Si suami buta dengan memakai cermin mata hitam, manakala si isteri yang cukup sifat memimpin si suami. Kerana sifat belas dan kasihan kepada pasangan tersebut, saya menghulurkan RM10 kepada mereka. Akan tetapi, apabila saya selesai makan dan menuju ke kawasan parking, saya dapat lihat pasangan tersebut hanyalah berpura-pura. Si suami tidak buta dan boleh memandu kereta dan kereta mereka lebih mahal dari kereta saya. Nampaknya manusia lebih suka mencari duit secara menipu orang lain yang pada awalnya merasakan mereka patut ditolong. Nah, pengalaman ini mengajar saya supaya memberi dan menolong mereka yang benar-benar layak untuk menerima pertolongan.
RUZAIDI BIN KARDI