Baru-baru ini, Mercer Human Resource Consulting mengumumkan sebuah laporan hasil siasatan kos sara hidup global tahun 2011. Sebanyak 214 buah bandar di seluruh dunia dijadikan sampel perbandingan dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Beijing yang menduduki tempat ke-20 dalam hasil siasatan tersebut nampaknya sudah menjadi bandar kos sara hidup tertinggi di tanah besar China. Kedudukan Beijing dalam hasil siasatan tersebut juga sudah lebih tinggi daripada bandar New York. Adakah kos kehidupan di Beijing betul-betul lebih tinggi daripada New York? Adakah harga barang di China sudah lebih mahal daripada di A.S.?
Cathy, mahasiswa Kolej Perubatan Universiti Michigan A.S., melawat China dalam percutian semesternya. Menurutnya, sebelum datang ke China, dia menyangka semua barang buatan China adalah murah. Tetapi sebenarnya bukan begitu. Dia memberikan beberapa contoh. Jenama Levi's bukanlah jenama mewah di A.S.. Kalau sehelai seluar jean, harganya antara 40 hingga 50 dolar Amerika (kira-kira 240 hingga 300 yuan RMB), kadang-kala 20 dolar (kira-kira 130 yuan RMB) sahaja kalau ada tawaran istimewa. Namun harga sehelai seluar jean yang sama di China biasanya antara 500 hingga 600 yuan RMB. Sepasang kasut sukan jenama NIKE dan Adidas dijual di A.S. dengan harga 80 hingga 100 dolar Amerika, tidak akan melebihi 150 dolar. Akan tetapi di China harganya ada yang melebihi seribu yuan.
Shi Hanbing, pemerhati sektor kewangan terkemuka bersependapat dengan Cathy. Beliau sudah melaksanakan penyelidikan selama setengah bulan di China dan A.S.. Menurut hasil penyelidikannya, selain bidang yang berkaitan dengan industri perkhidmatan seperti gunting rambut, atau bidang yang melibatkan hak harta intelek seperti penerbitan dan bahan audio dan video, harga barang di A.S. lebih rendah daripada di China. Ini termasuklah barang-barang "Made in China" yang selalunya dijual 50% lebih murah di luar negara berbanding dalam negeri.
Namun tentulah bukan semua harga barang lebih mahal di China berbanding di negara lain. Misalnya, kos pengangkutan awam lebih murah di Beijing. Selain itu, walaupun harga rumah di sesetengah tempat di A.S. lebih murah, tetapi setelah membeli rumah kita masih perlu membayar cukai tanah sebanyak 6,000 hingga 20 ribu dolar Amerika setahun.
Menurut pakar berkenaan, kalau menganalisis faktor-faktor yang menyebabkan jurang perbezaan harga barang antara China dengan A.S., ada dua faktor yang utama. Pertama, peningkatan pendapatan adalah perlahan-lahan dan pengagihan pendapatan kurang adil serta jurang perbezaan antara yang miskin dan yang kaya semakin besar. Sebab yang kedua pula cukai yang terlalu banyak dan rumit. Kebanyakan barang jualan dikenakan 17% cukai nilai tambah. Tanda harga barang jualan di A.S. biasanya ditulis harga sebelum dan selepas cukai. Sebaliknya pengguna di China cuma dapat melihat harga terakhir dan tidak tahu jumlah cukai yang telah dikenakan.
Di samping itu, Profesor Yu Shumin dari kolej kewangan Universiti Rakyat China berpendapat bahawa selain cukai yang tinggi, dasar menetapkan harga, keperluan pasaran, kos pengangkutan, belajawan sewa tempat gerai dan sebagainya juga akan mempengaruhi harga barang-barang.
Tokoh terkemuka dalam bidang kewangan pula ada yang menyatakan seiring dengan penghujung perubahan inflasi, kadar harga barang di China akan kekal stabil. Indeks harga pengguna (CPI) mungkin akan turun pada suku keempat. Harga barang juga akan turut kembali ke skala yang lebih rasional. Sementara itu, masalah harga barang mencerminkan masalah yang lebih mendalam yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi negara. Sekiranya ingin menyelesaikan masalah harga barang yang terlalu tinggi, lebih berkesan sekiranya kaedah pembangunan ekonomi diubah dan struktur ekonomi negera China diubahsuai.
Adakah anda juga menghadapi masalah harga barang yang terlalu tinggi? Bagaimana keadaan harga barang di negara anda sendiri?
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan "Suara Sutera" pada 3 Ogos nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.