Cari:
Pandangan Anda Mengenai "Iklan-iklan Dalam Filem"
2011-08-05 15:54:42 CRI Cetak

Filem Transformers 3 "Dark of the Moon" yang dinanti-nantikan para peminat Transformers telah ditayangkan buat pertama kalinya di tanah besar China pada 21 Julai lalu. Sebelum ditayangkan di tanah besar China, hasil jualan tiket filem tersebut sudahpun mencapai 511 juta dolar Amerika dalam tempoh sembilan hari di kawasan utara Amerika, Eropah dan Hongkong.

Selain daripada jalan cerita filem itu sendiri, iklan-iklan dalam filem tersebut pun menjadi tumpuan perbincangan orang ramai. Dalam filem tersebut, watak utama lelaki memakai T-shirt jenama Metersbonwe dan logonya yang menonjol dapat dilihat selama hampir dua minit.

Ketika menaiki lif, seorang watak yang rupanya berketurunan China dilihat sedang minum minuman ringan, iaitu susu jenama Yili. Seterusnya watak itu berkata "I'm not talking to you until I finish my shuhua milk!" Logo Yili jelas sekali dan dapat dilihat selama lebih kurang 30 saat.

Bukan itu sahaja. Ketika watak utama lelaki sedang menyelamatkan watak utama perempuan yang telah ditangkap, sebuah televisyen besar tiba-tiba menghalang pergerakan watak utama lelaki. Logo televisyen berjenama TCL itu jelas kelihatan.

Selain itu komputer berjenama Lenovo terpapar sekurang-kurangnya lima kali dalam filem tersebut. Pada akhir filem tersebut, komputer Lenovo yang sering dibimbit watak utama lelaki itu menjelma menjadi robot.

Mungkin kita sudah biasa melihat iklan dalam filem terutamanya dalam filem yang dianggap filem komersil. Secara kasarnya ada dua jenis iklan yang terdapat dalam filem, iaitu yang padan dengan jalan cerita dan yang kekok serta mengganggu para penonton menikmati filem. Itulah sebabnya sudah wujud dua kumpulan penonton, masing-masingnya menyokong dan menentang kemasukan iklan dalam filem.

Pihak yang menyokong kemasukan iklan dalam filem menyatakan cara ini selaras dengan perkembangan industri filem sebab cara ini dapat membantu membawa masuk modal perlaburan dan mempromosikan filem dengan lebih berkesan.

Pihak yang menentang pula berpendapat cara ini sebenarnya kurang menghormati filem dan penonton filem sebab cara ini memaksa penonton menonton iklan dalam filem. Lebih ekstrem, ada yang berpendapat bahawa kemasukan iklan dalam filem dianggap tindakan mencabul kepentingan pengguna sebab mereka membayar untuk menonton filem bukan menonton iklan.

Adakah anda masih ingat lagi iklan yang anda lihat dalam sesuatu filem? Apakah pandangan anda mengenai iklan dalam filem?

Adakah terdapat langkah promosi yang lebih pintar dan tidak menjejaskan kualiti filem, sebaliknya bermanfaat untuk mempromosikan filem itu sendiri? Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 10 dan 17 hb Ogos nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China