Cari:
Pandangan Anda Mengenai "Fengshui"
2011-10-12 09:51:02 CRI Cetak

Dalam bahasa China, Feng Shui bermakna angin dan air. Kedua-dua unsur penting dalam alam semula jadi ini merupakan kunci untuk manusia meneruskan kehidupan. Menurut kebanyakan tafsiran, Feng Shui merujuk kepada gerak kuasa atau nafas seluruh alam. Menurut Freedman (1996), penulis buku Chinese Lineage and Society. Fukien and Kwangtung, gerak kuasa atau nafas seluruh alam yang disebut juga sebagai "Qi" ini merupakan unsur yang membentuk ketuahan sesuatu tempat. Qi akan ditiup angin dan dilahirkan oleh air.

Ilmu Feng Shui yang berasal dari negara China adalah satu set pengetahuan mengenai hubungan antara manusia dengan alam sekitar. Pengaruhnya di China dapat dijejaki hingga ke zaman Dinasti Tang (618-907M) apabila Yang Yun Sang yang merupakan perintis Feng Shui menjadi perunding utama kepada raja-raja dalam istana.

Feng Shui semakin popular di arena antarabangsa sejak akhir abad ke-20 dan kemudiannya diadaptasikan kepada ciri-ciri tersendiri setiap bangsa, budaya dan bentuk muka bumi negara-negara lain seperti di negara barat dan Asia Tenggara.

Populariti ilmu Feng Shui meningkat melalui usaha para pakar Feng Shui dalam membawa tuah, menangani masalah, memberi kepuasan serta ketenangan kepada pelanggan dengan mengubah atmosfera di sekitar mereka. Konsep ini bukan sahaja semakin difahami di arena antarabangsa, bahkan telah menjadi pedoman utama dalam pembinaan rumah.

Menurut pakar bidang ilmu-ilmu tradisional China, keyakinan terhadap Feng Shui semakin meningkat disebabkan tiga faktor utama.

Pertama, masalah-masalah alam sekitar yang kita hadapi sekarang ini memaksa kita berfikir kembali tentang "hubungan manusia dengan alam sekitar". Kita berharap dapat menemui jalan penyelesaian daripada konsep dan ilmu tradisional seperti ilmu Feng Shui.

Kedua, kehidupan serba moden mudah menjadikan kita lesu dari segi mental. Ilmu Feng Shui boleh menjadi salah satu "hiburan mental" bagi manusia.

Selain itu, kepelbagaian budaya semakin dihormati dan lebih diberikan perhatian seiring peningkatan tahap toleransi masyarakat kita.

Pada masa yang sama, ada pula yang menegaskan bahawa memandangkan pendidikan sains dan teknologi tidak boleh diabaikan, ilmu Feng Shui juga tidak boleh diabaikan kerana dianggap sejenis ilmu sains dan bukanlah kepercayaan karut semata-mata.

Topik "Feng Shui" akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 19 dan 26 Oktober nanti. Anda dialu-alukan ikut serta perbincangan tersebut. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China