Beijing, ibu negara China yang merupakan sebuah bandar raya antarabangsa sedang menghadapi masalah kekurangan teksi.
Jam menunjukkan sudah pukul 6:30 petang. Puan Su sudah menunggu teksi selama lebih 10 minit di tepi jalan berhampiran Stesen Keretapi Bawah Tanah No.1 Guomao, Daerah Chaoyang, Beijing. Terdapat dua orang lagi menunggu teksi bersama-sama Puan Su. Pada pukul 7:15, salah seorang terpaksa menaiki sebuah teksi haram, manakala pada pukul 7:20, seorang lagi pergi menaiki keretapi bawah tanah. Puan Su berjaya mendapat sebuah teksi pada pukul 7:25. Hampir sejam sudah berlalu sejak mereka mula menunggu. Situasi ini lebih teruk pada hari hujan atau salji turun.
Ramai penumpang yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap pemandu teksi sekarang. Contohnya pemandu teksi menolak untuk membawa penumpang ke destinasi mereka, berkhidmat dengan sikap yang buruk dan menolak penumpang pada masa kemuncak lalu lintas disebabkan sedang bergilir dengan pemandu lain.
Namun, menurut pemandu teksi, ada sebabnya mereka berbuat begitu. Kesesakan lalu lintas yang teruk menjejaskan pendapatan mereka, jadi ramai pemandu teksi memilih masa tersebut untuk bergilir-gilir dengan pemandu lain. Pada hari hujan atau salji turun, bukan sahaja kesesakan lalu lintas lebih teruk, malah risiko kemalangan turut menjadi besar. Sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan, kos membaiki kereta ditanggung oleh pemandu sendiri. Jadi ramai pemandu teksi memilih untuk tidak beroperasi pada hari hujan atau salji turun. Menurut pakar ekonomi, peningkatan harga minyak dan kos penyewaan teksi yang semakin tinggi mengurangkan keuntungan pemandu teksi hingga menjejaskan semangat mereka untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh. Selain itu, kebajikan para pemandu teksi kurang diutamakan. Ini juga mengakibatkan kekurangan tenaga manusia sehinggakan lebih seribu buah teksi tinggal terbiar.
Bagaimana mengatasi masalah kesukaran mendapat teksi di bandar-bandar seperti Beijing? Bagaimana pula keadaannya di tempat anda sendiri?
Anda dialu-alukan berkongsi pandangan anda dalam hal ini dalam ruangan Suara Sutera pada 7 Disember nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.