Deng Fei, wartawan majalah Phoenix Weekly bersama-sama lebih 500 orang wartawan lain telah mengadakan kempen amal "makan tengah hari percuma" dengan bekerjasama Tabung Pendidikan Kebajikan Sosial China. Pelajar-pelajar miskin akan diberi makan tengah hari percuma bernilai tiga yuan RMB seorang.
Kerajaan China juga sudah berkeputusan untuk melaksanakan rancangan peningkatan pemakanan pelajar-pelajar tahap pendidikan wajib di kawasan desa. Salah satu langkah dalam rancangan tersebut ialah peruntukan subsidi makanan oleh kewangan pusat sebanyak tiga yuan sehari bagi setiap pelajar tahap pendidikan wajib di kawasan desa perintis. Projek percubaan tersebut merangkumi kira-kira 26 juta pelajar di 680 buah kaunti. Modal yang disediakan oleh kewangan pusat dijangka akan mencapai lebih kurang 16 bilion yuan RMB pada setiap tahun.
Nampaknya baik pertubuhan kebajikan masyarakat mahupun kerajaan China, kedua-duanya sudah menaruh lebih perhatian kepada pelajar-pelajar terutama pelajar yang berasal dari kawasan desa atau keluarga miskin.
Pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah rendah di Jepun kebanyakannya makan tengah hari di sekolah dan menanggung perbelanjaan mereka sendiri. Namun, harganya rendah, iaitu lebih kurang 16.5 hingga 18.6 yuan RMB sehari. Apabila sampai ke peringkat sekolah menengah tinggi, pelajar akan membawa bekalan makanan sendiri. Walaupun tiada makan tengah hari yang percuma di Jepun, tetapi pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah akan mendapat subsidi.
Pelajar sekolah menengah di A.S. boleh memilih untuk makan tengah hari di sekolah ataupun di rumah sendiri. Makanan tengah hari yang disediakan biasanya sayur-sayuran dan sandwic. Harganya lebih kurang 5 dolar dan mampu ditanggung oleh kebanyakan keluarga pelajar.
Sekolah-sekolah di Azerbaijan pula selalu menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam. Kos setiap hidangan lebih kurang 7 hingga 8 yuan RMB.
Bagaimana pula keadaannya di tempat anda sendiri?
Anda dialu-alukan berkongsi pandangan anda dalam hal ini dalam ruangan Suara Sutera pada 14 Disember nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.