Peribahasa "Hua Bing Chong Ji", atau "melukis kuih lempeng untuk melegakan rasa lapar", membawa pengertian yang sama dengan "Wang Mei Zhi Ke".
Pada zaman kerajaan Tiga Negeri juga, iaitu pada tahun 220 Masihi hingga tahun 280 Masihi, di Negeri Wei, ada seorang pegawai kanan yang amat bijak, namanya Lu Yu.
Pada suatu hari, Raja Negeri Wei ingin mencungkil bakat baru untuk mengisi jawatan kosong di jabatan kerajaan. Selepas menimbangkan peserta yang dicalonkan oleh pegawainya, baginda berkata:
"Beta mahu Lu Yu mencungkil bakat baru untuk jawatan kerajaan. Beta tak mahu orang yang hanya mempunyai reputasi baik sahaja, tetapi tidak ada kebolehan dan keupayaan yang sebenar. Reputasi itu bagaikan lempeng yang dilukis pada dinding, untuk dilihat sahaja, tetapi tidak boleh dimakan."
Lu Yu mencadangkan supaya bakat pegawai dicungkil melalui ujian. Sejak itulah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dilantik mengikut kebolehan sebenar mereka. Cara mencungkil bakat yang dikemukakan oleh Lu Yu mendapat pujian yang cukup meluas daripada rakyat jelata.
Peribahasa "Hua Bing Chong Ji" mula-mula disebut oleh Raja Wei untuk merujuk kepada mereka yang hanya mempunyai reputasi baik sahaja, tetapi tidak ada kebolehan dan keupayaan yang sebenar. Sekarang, peribahasa ini membawa pengertian menyenangkan hati sendiri dengan angan-angan yang bukan-bukan.
Pernahkah saudara mendengar atau membaca cerita yang memberikan pengajaran yang serupa ini? Jika ada, jangan malu-malu untuk berkongsi dengan kami dalam ruangan "Salam" pada 22 Jun 2012 nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam emel, surat atau mesej anda.