Cari:
Tandas Awam: Lambang Ketamadunan Bandar
2012-07-24 12:59:32 CRI Cetak

Pendapat "ketamadunan sesebuah bandar boleh dilihat dari keadaan tandas awamnya" sudah lama ada dan diakui ramai. Sebenarnya tandas awam memang salah satu lambang peradaban bandar, manakala sejarah perkembangannya juga adalah salah satu bukti pembangunan tamadun manusia.

Buku "The Porcelain God: A Social History of the Toilet" hasil penulisan Doktor Falsafah Pendidikan A.S., Julie Horan setelah lapan tahun pengajian, menjelaskan bahawa peradaban manusia bukan lahir daripada penciptaan sistem tulisan. Sebaliknya, ia bermula dengan pembinaan tandas yang pertama. Sebelum adanya tandas, manusia terpaksa berpindah-randah demi menjauhkan diri daripada najis. Pembinaan tandas membolehkan manusia tinggal di sesuatu tempat dengan tetap. Menurut Horan, evolosi tandas juga merupakan proses kemajuan tamadun manusia.

Setelah menyelesaikan masalah ketiadaan tandas awam, masalah yang perlu dihadapi seterusnya adalah keadaan dan kebersihan tandas awam. Tandas awam yang bersih boleh mengelakkan penyebaran penyakit yang boleh meragut nyawa seperti penyakit kolera. Menurut statistik, setiap USD 1 yang diperuntukkan bagi kebersihan tandas awam dapat mengurangkan perbelanjaan perubatan sebanyak USD 7.

Walaupun kini tandas awam sudah semakin maju, namun pada hakikatnya, 40% daripada warga dunia kurang kemudahan untuk membersihkan tandas awam selepas menggunakannya. Sementara itu, lebih sebilion orang terpaksa buang air di luar bangunan setiap tahun, dan sekurang-kurangnya 1.2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia akibat penyakit kolera.

Sidang Kemuncak Tandas Sedunia yang pertama telah diadakan di Singapura pada tahun 2007. Sejak itu, 19 November ditetapkan sebagai Hari Tandas Sedunia bagi mendorong usaha menyempurnakan tandas awam.

Tandas di China yang paling awal dibina pada 5,000 tahun yang lalu dan ditemui di tapak peninggalan sejarah Banpo, bandar Xi'an. Pada zaman Dinasti Tang (iaitu 618—907 Masihi), pegawai diraja dilantik khusus untuk menguruskan tandas. Namun, seiring dengan perkembangan zaman, peradaban tandas di China beransur-ansur ketinggalan berbanding negara-negara maju. Masalah-masalah yang dihadapi masyarakat China sekarang ini termasuk kekurangan tandas awam, keadaan kebersihan kurang memuaskan dan kebajikan tukang cuci kurang terjamin.

Di Australia terdapat "Peta Tandas". Lokasi dan waktu operasi tandas awam di seluruh negara itu akan ditandakan dalam peta tersebut bagi memudahkan para pengguna, terutamanya pelancong asing untuk mencari tandas awam ketika melawat ke Australia.

Di mana-mana sahaja di dunia, tukang cuci tandas awam sering dipandang rendah. Oleh yang demikian, sebuah Akademi Tandas telah ditubuhkan di Singapura untuk menawarkan kursus latihan kepada para pencuci untuk menguasai teknik-teknik pembersihan tandas yang baharu. Biasanya gaji tukang cuci tandas awam lebih kurang SGD500 (RMB2,500) sebulan, namun setelah mereka selesai berkursus, gaji bulanan mereka akan bertambah sehingga SGD 1,000 (RMB 5,000).

Dalam isu pengurusan tandas awam, kita boleh mengambil pengalaman beberapa negara maju. Di Jerman, sebelum tandas awam boleh dibina, kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat penyelidikan untuk menetapkan lokasi, jumlah serta kemudahan yang paling sesuai. Ini kerana pihak kerajaan perlu mengumpulkan pandangan dan cadangan daripada warga bandar terlebih dahulu, kemudian mengeluarkan beberapa rancangan pembinaan, dan akhir sekali barulah memilih salah satu daripadanya melalui pengundian parlimen tempatan.

Di Jepun pula, tandas awam diuruskan oleh penduduk tempatan. Setelah siap dibina, kerja pengurusannya akan ditanggung oleh penduduk komuniti tersebut, manakala kerja pembersihan dan penjagaan akan dibuat oleh sukarelawan tempatan. Sementara itu, semua pengguna mesti mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. Selain itu, pertandingan "10 Buah Tandas Awam Terbaik di Jepun" anjuran Pertubuhan Tandas Jepun akan diadakan pada setiap tahun.

Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 1 Ogos 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China