Terdapat seorang warga tua yang bernama Sai Weng pada Zaman Zhan'Guo, iaitu lebih 2,000 tahun dahulu. Sai Weng memelihara banyak ekor kuda. Suatu hari seekor kudanya didapati hilang. Ada jirannya datang untuk menyampaikan simpati kepada Sai Weng supaya beliau tidak terlalu kesal. Namun, Sai Weng menganggap kehilangan kuda bukanlah perkara yang menyusahkan hati, sebaliknya mungkin boleh mendatangkan nasib yang baik.
Beberapa hari kemudian, kuda yang hilang itu sendiri balik ke rumah, malah bersama dengan seekor kuda yang besar lagi cantik. Jirannya merasa amat kagum dengan jangkaan Sai Weng dan mengucapkan tahniah kepada beliau. Tetapi, Sai Weng tidak berapa gembira, malah merasa bimbang akan keburukan berikutannya.
Kebimbangannya pula menjadi kenyataan kerana suatu hari lagi anak tunggal lelaki Sai Weng yang menunggang kuda cantik itu terjatuh, lalu patah kakinya. Diberitahu tentang perkara itu, Sai Weng tidak merasa amat susah hati, sebalik tetap menganggap mungkin nasib baik akan datang berikutan dengan perkara yang buruk itu.
Tidak lama kemudian, negaranya dicerobohi oleh musuh. Maka, semua pemuda di kampung Sai Weng disuruh menyertai tentera untuk melawan musuh. Tetapi, anaknya tidak diambil menjadi askar kerana kakinya cedera. Semua pemuda itu mati dalam peperangan akhirnya. Manakala, anak Sai Weng sahaja yang dianggap bernasib baik kerana mengelakkan diri daripada tragedi.
Peribahasa "Sai Weng Shi Ma" memberikan pengajaran bahawa kadang-kadang kita mungkin akan mendapat kebaikan daripada sesuatu perkara yang buruk.
Pernahkah saudara mendengar cerita yang serupa ini? Jika ada, jangan malu-malu untuk berkongsi dengan kami dalam ruangan "Salam" 8 Mac 2013 nanti.