Cerita mengenai peribahasa "Wan Bi Gui Zhao" ini berlaku pada Zaman Negeri-Negeri Berperang di China, iaitu kira-kira 2,000 tahun yang lalu. Maharaja Negeri Zhao dihadiahkan sebuah batu jed yang sangat cantik dan bermutu tinggi. Maharaja Negeri Qin yang berminat pada batu jed ingin menukar 15 buah kotanya dengan batu jed itu. Maka, Maharaja Zhao menyuruh seorang tokoh politik dan juga diplomat veteran di negerinya, Ling Xiangru membawa batu jed itu dan bertemu dengan Mahajara Qin.
Selepas menyerahkan batu jed itu kepada Mahajara Qin, Ling Xiangru mendapati baginda itu hanya memuji-muji betapa cantiknya jed itu, dan tidak langsung menyebut 15 buah kota yang menjadi syarat pertukaran. Maka, Ling Xiangru memberitahu Maharaja Qin bahawa terdapat satu bintik dalam batu jed itu dan minta ia dikembalikan untuk ditunjukkan. Selepas jed itu diambil balik, Ling mendakwa Maharaja Qin makan janji kerana tidak ingin menyerahkan 15 kota itu kepada Mahajara Zhao. Ling juga mengugut akan menjatuhkan batu jed ke atas lantai jika Maharaja Qin tidak menunaikan janjinya. Maharaja Qin takut akan batu jed yang amat disukainya itu pecah, dan berpura-pura menunjukkan 15 buah kota dalam peta yang akan diserahkan kepada Mahajara Zhao.
Ling Xiangru sudah menyedari perbuatan Maharaja Qin itu memanglah satu penipuan. Oleh itu, dia meminta Maharaja Qin mengadakan satu upacara yang meriah untuk menerima batu jed itu pada suatu hari nanti. Untuk mendapatkan batu jed itu, Maharaja Qin terpaksa bersetuju.
Semasa upacara itu akan diadakan, Ling memberitahu maharaja itu bahawa batu jed itu sudah dihantar balik kepada Negeri Zhao. Bagaimanapun, baginda tetap boleh memperoleh jed itu selepas menyerahkan 15 kota yang dijanjikannya. Ling menambah bahawa jika maharaja Qin ingin membunuhnya, dia akan membunuh diri dengan segera.
Kenyataan Ling itu menjadikan Maharaja Qin berada dalam keadaan serba salah. Maka, Maharaja Qin hanya boleh membebaskan Ling Xiangru kerana tiada gunanya Ling betul-betul dibunuh. Malah, ini akan menjadi dirinya bahan ketawa orang ramai.
Peribahasa "Wan Bi Gui Zhao" ini menggambarkan tindakan bijak yang mengembalikan semula suatu barang kepada tuannya tanpa sebarang kerosakan.
Pernahkah saudara mendengar cerita yang serupa ini? Jika ada, jangan malu-malu untuk berkongsi dengan kami dalam ruangan "Salam" 19 April 2013 nanti.