Di China, terdapat gejala yang kurang bertamadun iaitu pejalan kaki melintas jalan secara beramai-ramai tanpa mempedulikan lampu isyarat lalu lintas. Pada pemikirannya, jika begitu ramai orang membuat salah pada waktu yang sama, mustahil pesalah dapat ditangkap dan didenda satu demi satu. Jadi, lampu isyarat lalu lintas seolah-olah dipasang untuk kenderaan semata-mata. Gejala ini memang memalukan China yang dianggap sebagai negara bertamadun sejak zaman purba kala.
Pada 8 April lalu, Biro Pentadbiran Lalu Lintas Beijing telah mengumumkan bahawa perbuatan melanggar peraturan lalu lintas oleh pejalan kaki dan penunggang basikal akan dimasukkan ke dalam bidang tugas utama pengawalan lalu lintas pada masa depan. Oleh itu, pejalan kaki yang melanggar lampu merah akan didenda 10 yuan, manakala kenderaan bukan bermotor seperti basikal pula akan didenda 20 yuan sekiranya melanggar lampu merah.
Pada hakikatnya, kes-kes kemalangan lalu lintas yang diakibatkan oleh kelalaian dan kesalahan pejalan kaki menduduki jumlah yang besar. Oleh itu, pejalan kaki juga bertanggungjawab mematuhi peraturan lalu lintas. Sebaik sahaja pengumuman tersebut dikeluarkan dan peraturan tersebut dilaksanakan secara rasmi di Beijing, ramai orang memberi sokongan.
Pada waktu yang sama, para pejalan kaki pun menghadapi halangan dan rintangan dalam lalu lintas. Sesetengah pejalan kaki telah berkata bahawa mereka sebenarnya tidak berniat melanggar lampu merah, sebaliknya lampu isyarat lalu lintas kurang memudahkan. Contohnya, waktu nyala lampu hijau terlalu singkat sehingga "memaksa" pejalan kaki melintas jalan dengan lebih awal. Manakala, terdapat pula waktu nyala lampu merah yang terlalu lama sehingga pejalan kaki tidak dapat bersabar lagi untuk menunggu pertukaran lampu.
Denda yang dikenakan adalah sebagai langkah untuk menjamin keselamatan pelbagai pengguna jalan raya. Oleh itu, lebih ramai orang menyeru pihak pentadbiran dan pengawalan lalu lintas supaya memberikan lebih banyak perhatian dan tenaga untuk membina sistem lalu lintas bandar raya yang lebih rasional, saintifik dan memudahkan semua pihak.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 1 Mei 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn