Cari:
Topik Terbaru: Gejala "Mengumpulkan Hartanah Banyak-banyak" di China
2013-04-30 10:19:18 CRI Cetak

Kos pemilikan hartanah hampir boleh diabaikan sekiranya dibandingkan dengan keuntungan yang boleh diperoleh daripada kenaikan harga rumah di banyak bandar di China. Oleh sebab itu, wujudlah ramai pengumpul rumah sehingga ada yang mempunyai lebih 10 buah rumah, bahkan terdapat pula "rombongan hartanah" sepenuh masa yang mengejar keuntungan melalui jual beli hartanah.

Contohnya, selain rumah kediamannya sendiri, Encik K mempunyai sebuah lagi rumah di Beijing yang luasnya 77 meter persegi. Namun, rumah tersebut telah lama terbiar. Ketika ditanya kenapa beliau tidak menyewakan rumah tersebut untuk mendapat bayaran sewa yang dijangka mencapai kira-kira RMB 6,000 sebulan. Encik K menjawab, "Kalau menurut kadar peningkatan tahunan harga rumah di Beijing iaitu 10%, nilai rumah tersebut akan bertambah sebanyak lebih RMB 400 ribu setahun. Walaupun saya boleh mendapat sewa sebanyak kira-kira RMB 70 ribu setahun, namun saya perlu membelanjakan beberapa ratus ribu yuan untuk melengkapi rumah tersebut sekiranya saya menyewakannya. Sebaliknya kalau rumah tersebut dibiarkan sahaja, kos penyelenggaraannya hanya kira-kira RMB 3,000. Maka saya rasa lebih untung kalau rumah tersebut dibiarkan saja."

Di pelbagai bandar China, semakin ramai orang seperti Encik K yang mempunyai beberapa rumah yang tidak diguna pakai. Perbuatan mereka yang dianggap sebagai bertujuan spekulasi ini telah membazir sumber hartanah dan mengakibatkan kenaikan harga rumah di China.

Sehubungan dengan itu, terdapat pakar bidang hartanah mengeluarkan cadangan bahawa "cukai pemilikan" perlu dikenakan pada pemilik hartanah bagi menyekat pembelian rumah yang bersifat spekulasi. Sebenarnya kebanyakan negara dan kawasan maju di dunia telah sekian lama melaksanakan langkah seumpama itu untuk menyeimbangkan pasaran hartanah dan menggalakkan para penduduk membeli rumah untuk kegunaan sendiri.

Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 8 Mei 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China