"Pendapatan tahunan saya kira-kira 50 ribu yuan. Saya tidak boleh menerimanya kerana ia lebih rendah daripada pendapatan petani," rungut seorang lulusan sarjana lanjutan wanita dari Universiti Wuhan, Provinsi Hubei China baru-baru ini dalam BBS universiti tersebut. Menurutnya, beliau bekerja di sebuah syarikat milik negara di Nanchang, provinsi Wuhan, namun gaji tahunannya tidak setanding dengan golongan pekerja kasar seperti kaum tani, tukang cuci atau pengasuh. Rungutan beliau telah menimbulkan rasa empati ramai orang, sambil menimbulkan pemikiran "patutkah taraf pendidikan menentukan taraf pendapatan?"
Terdapat pendapat yang berbunyi bahawa mereka yang taraf pendidikannya tinggi patut diberi jawatan yang bergaji tinggi sebagai pulangan kepada usaha gigih mereka mendapatkan pendidikan.
Su Qin yang mengikuti kursus sarjana lanjutan di Universiti Normal Beijing pada masa ini berkata, terdapat konsep "kadar pulangan pendidikan" di luar negara, yang bermaksud, pulangan seperti gaji perlu setara dengan tempoh pendidikan. Lagipun, dalam latar belakang sistem pendidikan China kini, orang yang mampu memperoleh ijazah sarjana lanjutan bahkan kedoktoran sudah tentulah lebih handal dalam pelajaran. Oleh itu, mereka seharusnya mendapat pulangan yang lebih lumayan.
Di samping itu, ada pula yang berpendapat sebaliknya, iaitu tinggi rendah pendapatan bergantung pada keupayaan orang itu sendiri. Walaupun seseorang itu berpendidikan tinggi, ia tidak semestinya berkelayakan untuk sesetengah kerja.
Jin Xi, seorang anggota media, berpendapat bahawa keupayaan menentukan pendapatannya. Menurut beliau, sesetengah kerja kasar sebenarnya kategori kerja yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi, atau kerja yang berbahaya. Tambahan pula, kerja harian mereka jauh lebih berat dan lama daripada kerja biasa.
Sementara itu, gejala ketidakseimbangan pasaran tenaga manusia telah lama wujud di China. Profesor bidang sosiologi dari Universiti Normal Huazhong, Mei Zhigang pula berkata, dari segi ekonomi, taraf pendapatan pelbagai pekerjaan sebenarnya ditentukan oleh pasaran. Sama ada orang berpendidikan tinggi menerima gaji yang tinggi, ataupun pekerja kasar mendapat pendapatan tinggi disebabkan bekerja keras sebenarnya tidak bercanggah, bahkan ia juga tidak sewajarnya dijadikan bandingan.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 22 Mei 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn