Milo ialah seekor anjing dachshund yang kecil, manakala Bonedigger ialah seekor singa yang seberat 250 kg. Tetapi ini tidak menghalang dua ekor haiwan ini daripada menjalinkan persahabatan yang erat.
Dalam sebuah rakaman video yang baru-baru ini menggemparkan pengguna internet, Milo dilihat menjilat-jilat muka Bonedigger dengan penuh kasih sayang. Perbuatan yang mesra itu kemudiannya diajuk oleh Bonedigger dengan lidahnya yang hampir sebesar kepala anjing kecil itu.
Kedua-dua haiwan yang berusia lima tahun ini telah sekian lama menjadi sahabat sejati sejiwa. "Joe Eksotik", seorang pakar haiwan dan petugas Zoo Garold Wayne di Wynnewood, A.S. pertama kali memperkenalkan empat ekor anak anjing dachshund miliknya kepada Bonedigger ketika singa itu baru berusia empat minggu. Sejenis penyakit tulang menyebabkan anak singa itu lemah dan kurang berupaya, dan Joe Eksotik percaya, itu mungkin sebabnya mengapa haiwan-haiwan itu semua dapat menjalinkan hubungan persahabatan yang sebegitu erat.
Cerita menarik ini akan disiarkan dalam ruangan Salam pada 21 Jun 2013 nanti bersama dengan segmen lain seperti "Minggu Ini Dalam Sejarah" dan "Tokoh Terkenal di China". Sekiranya saudara ingin tinggalkan pesanan kepada kami atau saudara pendengar yang lain, jangan malu-malu, hantarlah emel kepada alamat mal@cri.com.cn