Dalam zaman yang serba moden ini, ramai orang terutamanya golongan muda telah biasa mencari maklumat yang diperlukan dari laman web. Pada waktu yang sama, kandungan yang dipaparkan dalam internet semakin beraneka ragam sehingga nampaknya tiada maklumat yang tidak boleh didapati di internet. Maklumat melibatkan perubatan juga tidak terkecuali.
Ramai pengguna internet mencari maklumat berdasarkan simptom penyakit yang timbul pada dirinya, dan kemudiannya melakukan diagnosis sendiri lalu makan ubat-ubatan yang dibeli di farmasi. Cara diagnosis sendiri kian popular terutamanya bagi mereka yang sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk pergi ke hospital. Sementara itu, sumber perubatan di China agak terhad, baik dari segi tenaga doktor mahupun kemudahan perubatan. Maka, menerima rawatan di hospital menjadi perkara yang sungguh melecehkan. Kosnya pun tidak murah. Semua faktor tersebut menyebabkan ramai orang lebih bergantung pada kaedah diagnosis sendiri.
Walaupun cara seumpama ini memang lebih memudahkan, namun ia tidak digalakkan. Mencari maklumat di laman web profesional tentang perubatan nampaknya lebih selamat, tetapi sebenarnya punca penyakit tidak semestinya sama walaupun simptom yang timbul mungkin sama. Oleh itu, kalau bergantung semata-mata pada maklumat yang diberikan oleh laman web, mudahlah berlaku salah diagnosis penyakit. Lagipun, tidak semua laman web perubatan boleh dipercayai. Maklumat yang diterbitkan pun tidak terjamin.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 17 dan 24 July 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn