Cari:
Semoga Mekar Kasih Yang Bertaut di Bumi China
2016-05-06 10:04:19 CRI Cetak

(Oleh Zaidah)

Pada 25 April yang lalu telah berlangsungnya Malam Tautan Kasih di Bumi China anjuran Education Malaysia Beijing (EMB), Kedutaan Malaysia di Bejing. Malam tersebut adalah untuk meraikan kira-kira 58 orang murid Tahun 5 dari 32 buah sekolah rendah di negeri Johor Bahru yang menyertai Program "Immersion" Pengantarabangsaan ke Beijing yang diadakan pada 22 hingga 27 April lalu.

Terdapat tiga makna dalam Kamus Dewan bagi perkataan "Immersion", dan dalam konteks program tersebut saya fikir makna yang paling sesuai ialah perendaman, merendam. Sekiranya perkataan tersebut diterjemahkan secara harfiah, mungkin agak pelik sedikit bunyinya kerana pasti ada yang tertanya-tanya, "siapakah yang merendam?" atau "siapakah pula yang berendam?" dalam program tersebut. Namun, sekiranya diteliti hingga ke dasar, pastinya pemilihan perkataan tersebut adalah atas harapan dan matlamat Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPD) Johor Bahru untuk membawa murid-murid tersebut menghayati atau menyelami sesuatu perkara baharu bagi mereka.

Secara logiknya, sekiranya sudah "merendam/berendam" barulah sesuatu perkara tersebut lebih mudah untuk dihayati atau diselami, berbanding dengan sesuatu perkara yang dilakukan secara "celup-celup" sahaja. Sementelah pula, pada usia 11 tahun, murid-murid itu boleh dikatakan seumpama "span" yang sangat mudah menyerap pelbagai perkara di sekeliling mereka. Sekiranya didedahkan dengan perkara yang baik, maka membesarlah mereka menjadi manusia yang baik, begitulah sebaliknya.

Pepatah Melayu ada menyatakan, melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Dalam tempoh ini boleh diibaratkan "waktu keemasan" untuk melentur, membentuk, mendidik atau membimbing mereka kerana apabila mereka sudah menginjak dewasa, tatkala sikap dan pemikiran mereka sudah diresapi dengan pelbagai anasir, usaha tersebut pasti akan sukar untuk dilaksanakan. Jangan sesekali kita lupa bahawa mereka inilah yang akan menjadi harapan kita dan bakal pemimpin kita pada masa hadapan.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang tertumpu di dalam kelas, sudah agak "lama" walaupun masih relevan. Pada zaman segala-galanya di hujung jari hari ini, dunia mereka sudah semakin besar dan luas, sekali gus melonjakkan rasa ingin tahu mereka terhadap dunia luar. Menyedari hakikat itulah, maka PPD Johor Bahru melalui Unit Sekolah Rendah telah merintis usaha mewujudkan program seumpama ini yang membawa murid keluar mencari ilmu pengetahuan di luar bilik darjah dan mengalami sendiri pengalaman-pengalaman baharu dalam hidup mereka. Tidak salah membiarkan mereka meneroka dunia luar yang maha luas itu, tetapi biarlah dibimbing dan dipandu.

Sekiranya dilihat dalam dimensi yang lebih luas, usaha tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan interaksi antara murid Malaysia dengan China, malah membentuk kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan jiwa (SQ) murid-murid tersebut yang bertepatan dengan enam aspirasi Pelan Pendidikan Malaysia, iaitu Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika Kerohanian dan Identiti Nasional.

Dalam program enam hari itu, selain aktiviti lawatan ke beberapa tempat menarik dan bersejarah di Beijing, murid-murid tersebut turut menyertai sesi pembelajaran di dalam kelas yang diadakan di Sekolah Rendah Yungang Gabungan Universiti Perguruan Ibu kota dan Sekolah Rendah Eksperimen Chaoyang. Malam tautan kasih tersebut selain sesi ucapan dan bertukar-tukar cenderamata antara pihak Malaysia dengan China, yang paling dinanti-nantikan ialah persembahan daripada para pelajar Malaysia dan China. Ternyata persembahan pada malam tersebut, buka sahaja dapat melihat tahap keyakinan dan disiplin murid-murid tersebut ketika berada di atas pentas, malah sikap kerjasama dan komunikasi antara mereka juga wajar untuk mendapat pujian. Mereka sangat bersemangat semasa membuat persembahan dan dapat dilihat akan kesungguhan mereka itu ketika berada di atas pentas, seolah-olah mereka sudah mengerti bahawa mereka juga mempunyai peranan penting dan tanggungjawab besar dalam mencorakkan sistem pendidikan negara.

Sekalung tahniah sewajarnya juga diberikan kepada EMB, Kedutaan Malaysia di Bejing kerana menjadi "jambatan" dalam usaha menghubungkan dan menjalinkan dua sistem pendidikan di bawah satu bumbung. Memetik kata-kata Zhang Dejiang, Guru Besar Sekolah Rendah Yungang Gabungan Universiti Perguruan Ibu kota, walaupun wujudnya perbezaan dalam konsep pemahaman mengenai pendidikan, namun rakan-rakan yang menceburi bidang ini telah mencorakkan masa depan melalui kerjasama, saling mempelajari dan saling memahami. Memang tepat sekali, walau apa-apa pun perbezaan dalam konsep pendidikan, apabila melibatkan urusan "mencorakkan masa depan" kita perlu bersatu dan menjalinkan kerjasama serta perlu saling memahami demi pembangunan generasi yang akan datang.

Tuan Haji Shaharuddin bin Shariff, Pengarah Pendidikan Johor menyampaikan ucapan

Huang Huaiguo, Timbalan Guru Besar Sekolah Rendah Eksperimen Chaoyang, memberikan sepatah dua kata

Zhang Dejiang, Guru Besar Sekolah Rendah Yungang Gabungan Universiti Perguruan Ibu kota menyampai ucapan

Tuan Haji Shaharuddin bin Shariff menyampaikan cenderamata kepada Huang Huaiguo, Timbalan Guru Besar Sekolah Rendah Eksperimen Chaoyang

Tuan Haji Shaharuddin bin Shariff menerima cenderamata daripada Zhang Dejiang, Guru Besar Sekolah Rendah Yungang Gabungan Universiti Perguruan Ibu kota

Murid-murid begitu seronok dan teruja untuk menyaksikan persembahan pada malam itu

Antara barisan tetamu yang hadir bagi memeriahkan acara

Murid-murid dari Johor sedang menunggu giliran untuk membuat persembahan

Persembahan petikan gitar dan er hu daripada Mahasiswa BFSU  

Persembahan daripada murid Sekolah Rendah Yungang Gabungan Universiti Perguruan Ibu kota

Persembahan tarian tradisional daripada murid Sekolah Rendah Yungang Gabungan Universiti Perguruan Ibu kota. Persembahan tersebut agak menarik kerana walaupun kelihatan seperti tarian tradisional, namun terdapat unsur-unsur tarian balet dalam persembahan tersebut.

Kemeriahan persembahan ala "Citra Warna Malaysia" memenuhi suasana dewan besar Kedutaan Malaysia di Beijing

Para penonton bertepuk tangan untuk menghangatkan lagi suasana, di samping memberikan sokongan yang anak murid mereka yang sedang membuat persembahan di atas pentas  

Semua yang terlibat tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar kenangan bersama-sama  

Saya dan Rozana juga teruja mahu ketinggalan untuk bergambar kenangan dengan penari-penari cilik yang comel itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China