Cari:
Li Hongzhang, ahli politik yang tersohor pada zaman Dinasti Qing China
2008-11-21 18:53:36 CRI Cetak

Li Hongzhang ialah seorang ahli politik pada abad ke-19 iaitu tempoh pertengahan dan akhir zaman Dinasti Qing China. Beliau telah memberi pengaruh yang besar terhadap perkembangan sosial dalam sejarah moden China. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap Li Hongzhang ada yang baik ada yang buruk sehingga hari ini.

Li Hongzhang dilahirkan di Provinsi Anhui di timur China pada tahun 1823 Masihi. Beliau berjaya memasuki Akademi Kesarjanaan Diraja semasa berusia 24 tahun dan menerima pengajaran daripada ramai sarjana yang terkemuka pada masa itu. Antara gurunya, ahli politik yang juga sarjana yang terunggul pada zaman itu, Encik Zeng Guofan telah memberi pengaruh yang terbesar kepada Li Hongzhang. Semasa berusia lebih 30 tahun, Li Hongzhang telah memberi sumbangan dalam pembanterasan pemberontakan petani sebagai sekutu tentera pimpinan Zeng Guofan. Dalam proses pembanterasan tersebut, Li Hongzhang telah menubuhkan tentera sendiri dan dikenali sebagai tentera Huai. Sebagai seorang pegawai yang berilmu, Li Hongzhang telah menunjukkan bakat dan kepandaiannya dalam arena politik. Memandangkan jasa dan kearifannya, beliau telah dinaikkan pangkat dari semasa ke semasa.

Semasa berusia lebih 40 tahun, Li Hongzhang telah menjadi pegawai kanan dalam pucuk pimpinan kerajaan Qing. Beliau turut mengambil bahagian dalam penetapan dasar dalam bidang hal ehwal dalam dan luar negara, ekonomi dan kententeraan. Tentera Huai yang ditubuhkannya telah dihantar ke banyak tempat oleh kerajaan Qing untuk urusan pertahanan. Di bawah pimpinannya, kumpulan yang terdiri daripada panglima-panglima tentera Huai dan pengikutnya telah menjadi puak politik dan ketenteraan yang paling berkuasa pada masa itu.

Bermula pada abad ke-19, sistem feudalismedi di China semakin hari semakin rapuh, manakala negara-negara barat telah bangkit dengan pantas. Akan tetapi, kerajaan Qing terlalu optimis terhadap kekuatannya dan dengan teguh menjalankan dasar pentadbiran negara yang tertutup kepada dunia luar.

Sebagai pihak yang kalah dalam Perang Candu Pertama, kerajaan Qing terpaksa menandatangani perjanjian yang pincang dengan Britain. Selepas itu, kerajaan Qing telah banyak kali mengalami kekalahan dalam perang dengan penceroboh dan telah menandatangani banyak perjanjian yang memalukan. Ini telah mencetuskan ideologi pucuk pimpinan kerajaan Qing untuk menyekat kuasa Barat.

Walau bagaimanapun, Li Hongzhang lebih awal telah memerhatikan kelebihan negara-negara dalam pembangunan senjata dan kapal. Maka beliau mencadangkan supaya kerajaan Qing mempelajari dan menggunakan teknologi baru Barat ketika itu bagi mengukuhkan pertahanan. Pergerakan yang dilaksanakan oleh beliau untuk tujuan tersebut dikenali sebagai Pergerakan Pembaratan.

Li Hongzhang telah menubuhkan kilang senjata yang terbesar di China pada masa itu. Dengan adanya bimbingan daripada pakar asing, kilang itu telah membuat sejumlah besar senjata moden. Ini telah mengakhiri sejarah penggunaan senjata tradisional tentera kerajaan Qing.

Antara jasa kepada pemodenan China, Li Hongzhang juga telah menubuhkan tentera laut yang anggotanya paling ramai dalam sejarah. Beliau telah membina banyak pangkalan tentera laut dengan menimba teori pembangunan pertahanan Barat.

Di samping mengukuhkan pertahanan, Li Hongzhang juga giat untuk membangunkan industri kegunaan awam. Beliau telah membuka syarikat perkapalan pertama China. Selain itu, beliau juga telah mengambil bahagian dalam pembinaan landasan kereta api pertama China, pemasangan wayar elektrik pertama China, penubuhan pejabat telegrafi pertama dan kilangan tekstil pertama China.

Dengan seruan Li Hongzhang, kerajaan Qing buat pertama kalinya telah menghantar pelajar ke luar negara. Ini telah membuka lembaran baru dalam sejarah pendidikan China.

Sebagai penasihat utama kerajaan Qing bagi hal ehwal luar dan juga pegawai yang menetapkan dasar luar, Li Hongzhang telah mengambil inisiatif dalam urusan diplomatik.

Dalam hal ehwal dalam negeri, Li Hongzhang berpendapat bahawa empayar Dinasti Qing sedang merosot. Beliau menyeru supaya pembaharuan terhadap pentadbiran dijalankan seawal mungkin bagi mengekalkan pemerintahan kerajaan Qing. Pendapatnya dianggap sebagai pendapat yang paling agresif dan terbuka antara para pegawai kanan pada zaman itu.

Memandangkan jurang perbezaan yang besar antara China dengan Barat dari segi kekuatan kententeraan dan ekonomi, Li Hongzhang telah mengambil pendirian iaitu mengelakkan peperangan dalam mengendalikan hubungan antarabangsa. Pendirian tersebut telah diamalkan oleh kerajaan Qing dalam urusan diplomatik pada akhir Dinasti Qing. Akan tetapi, di luar jangkaan bahawa dasar tersebut telah berubah menjadi "dasar menyerah kalah" kepada penceroboh tanpa perjuangan. Ini telah mengakibatkan kemorosotan China dan mencemarkan nama Li Hongzhang kemudian.

Pada akhir abad ke-19, bagi pihak kerajaan Qing, Li Hongzhang kerap kali menandatangani perjanjian yang pincang. Berdasarkan Perjanjian Xinchou yang ditandatanganinya pada tahun 1901, kerajaan Qing mesti membayar ganti rugi sebanyak 450 milion tahil perak kepada negara-negara berkenaan. Dua bulan selepas penandatanganan perjanjian itu, kerajaan Rusia sekali lagi mengeluarkan permintaan kepada kerajaan Qing untuk memdapatkan lebih banyak faedah. Ini telah menimbulkan kemarahan Li Hongzhang sehingga keadaan kesihatannya tiba-tiba menjadi buruk. Tidak lama kemudian, Li Hongzhang meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Disebabkan oleh sejarah moden China yang dianggap memalukan itu, maka penilaian terhadap Li Hongzhang adalah berbeza-beza. Ada orang memandang Li Hongzhang sebagai pengkhianat kepada negara. Ada juga orang yang telah meluahkan perasaan sayang kepada beliau yang bernasib malang. Walau bagaimanapun, jasa Li Hongzhang dalam sejarah moden China tidak boleh dilupakan, beliau telah memberi sumbangan kepada pemodenan China.

----Puspa

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China