Cari:
Jianzhen
2009-01-14 10:26:57 CRI Cetak

Jianzhen dilahirkan dalam sebuah keluarga yang menganut agama Buddha di Kaunti Jiangyin, bandar Yangzhou, Provinsi Jiangsu di timur China. Pada tahun 708 Masihi, beliau menjadi seorang sami di Chang'an yang kini lebih dikenal dengan nama kota Xi'an. Dalam tempoh 40 tahun yang berikutnya, beliau giat berceramah, serta membangunkan kuil dan patung Buddha di merata-rata tempat sehingga mendapat 40 ribu orang pengikut, antaranya ada yang menjadi sami yang unggul. Jianzhen yang dianggap sebagai sami besar di bahagian timur China mempunyai kedudukan yang tinggi lagi mulia dalam kalangan penganut agama Buddha.

Pada tahun 743 Masihi, terdapat dua orang sami dari Jepun yang datang ke Yangzhou untuk mengundang Jianzhen supaya berceramah di negara mereka. Beliau menerima undangan tersebut dan bersiap sedia untuk belayar ke Jepun dengan membawa 21 orang pengikut. Namun, rancangannya untuk belayar itu gagal kerana tidak diluluskan oleh pihak berkuasa pada waktu itu.

Bagaimanapun, Jianzhen tidak menghentikan usahanya untuk belayar ke Jepun. Beliau membeli kapal tentera milik kerajaan, membawa patung Buddha dan barang-barang berkait dengan agama serta ubat-ubatan dan barang makanan untuk pelayaran kali ini. Pelayaran ini diikuti oleh 85 orang, termasuk pengikutnya dan kakitangan kapal. Malangnya, kapal tersebut rosak dalam pelayarannya akibat dipukul gelombang besar. Setelah kapal itu diperbaiki, Jianzhen dan kumpulannya membuat pelayaran ketiga. Namun, usahanya kali ini gagal karena kapalnya merempuh terumbu karang di laut.

Namun, ketiga-tiga kegagalan tersebut tidak menghalang Jianzhen untuk meneruskan rancangan pelayarannya. Pada tahun 744 Masihi, permohonannya sekali lagi ditolak oleh pihak berkuasa China. Empat tahun kemudian, beliau yang sudah berusia 61 tahun itu bertolak dari Yangzhou menuju ke Jepun. Kali ini, haluan kapalnya pula berubah akibat taufan. Kapalnya tidak sampai ke destinasinya, hanya tiba di bahagian selatan Pulau Hainan China. Selepas itu, Jianzhen membuat pelayaran kali kelima. Namun, beliau mengalami kerugian yang agak besar. Seorang daripada sami Jepun yang menjemputnya untuk memberikan kuliah itu meninggal dunia, diikut oleh seorang pelajarnya. Malah beliau sendiri pun menjadi buta kerana terlalu penat.

Pada 19 Oktober tahun 753 Masihi, Jianzhen meninggalkan kota Yangzhou untuk memulakan pelayarannya kali keenam. Akhirnya, pada 20 Disember berikutnya, sami yang buta ini berjaya menjejakkan kakinya di bumi Jepun, dan mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat Jepun. Pada tahun 756, kerajaan negara itu mengangkat beliau menjadi Ketua Sami di sana. Dalam tempoh 10 tahun berada di sana, Jianzhen bersama dengan para pelajarnya telah membangunkan Kuil Jietai dan Kuil Toshodaiji. Pada bulan Mei tahun 763 Masihi, sami yang tersohor ini telah meninggal dunia pada usia 76 tahun, dan jasadnya telah dikebumikan di Jepun.

Selama 10 tahun di Jepun, Jianzhen telah memberikan sumbangan yang tidak terhingga besarnya kepada perkembangan budaya Jepun dan aktiviti pertukaran kebudayaan antara China dengan Jepun. Seni budaya China yang dibawanya ke Jepun, seperti lukisan, hasil sulaman, barang jed dan cermin gangsa telah menjadi sebahagian daripada budaya negara itu. Walau bagaimanapun, sumbangannya yang cemerlang adalah dalam bidang agama Buddha. Seni bina Kuil Toshodaiji yang diciptanya menjadi gaya seni bina bangunan kuil Jepun pada masa yang selepasnya. Teknik membuat patung Buddha yang diwarnai dengan cat yang dibawanya juga diserap ke dalam budaya agama Buddha Jepun.---Selina

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China