Cari:
Hua Tuo, Doktor Tradisional Tersohor pada Zaman Silam China
2009-02-04 08:57:44 CRI Cetak

Hua Tuo berasal dari Anhui, bahagian timur China. Beliau hidup pada zaman Dinasti Han Timur dari abad ke-2 hingga abad ke-3. Hua Tuo belajar dengan tekun sejak masa kecil. Beliau meminati pengajian kedoktoran tradisional China dan cara pemeliharaan kesihatan. Beliau telah pergi ke beberapa tempat untuk belajar daripada doktor terkenal. Dalam tempoh tersebut, peperangan telah berlaku di beberapa tempat di China, terutamanya di Anhui, yakni kampung halaman Hua Tuo. Di Shandong dan Jiangsu, peperangan juga turut berlaku. Ramai orang telah mengalami kecederaan dalam peperangan tersebut. Hua Tuo berasa simpati terhadap mereka yang tercedera dan yang sakit. Beliau bercita-cita untuk memberi bantuan kepada mereka dengan kepakaran kedoktoran tradisional China. Beliau bukan sahaja belajar daripada doktor tradisional China yang ternama, tetapi juga menimba pengalaman kalangan rakyat untuk mengubati pelbagai penyakit. Dengan berbuat demikian, beliau telah memperoleh kepakaran kedoktoran yang tinggi sama ada dalam bidang bahagian penyakit dalaman, sakit puan dan penyakit kanak-kanak, khususnya bahagian pembedahan, malah beliau telah digelar sebagai pengasas bahagian pembedahan bagi kedoktoran tradisional China.

Sumbangan paling besar yang pernah dibuat oleh Hua Tuo dalam perkembangan kedoktoran tradisional pada zaman purba China ialah beliau berjaya mengkaji dan mencipta Mafosan, sejenis ubat bius untuk pembedahan yang diperbuat daripada datura dan herba-herba lain. Setelah mengambil ubat Mafosan, seluruh tubuh badan pesakit akan berasa lali dan tidak berasa sakit ketika pembedahan dijalankan. Resipi ubat Mafosan telah hilang, namun demikian, para ahli sejarah pada masa sekarang berpendapat bahawa Hua Tuo buat pertama kalinya berjaya mencipta ubat buis dan menggunakan ubat tersebut untuk melalikan seluruh badan pesakit bagi menjalani pembedahan di dunia. Ciptaan beliau itu lebih awal 1600 tahun daripada penciptaan ubat bius di Britain dan juga penggunaan ubat bius bagi menjalani pembedahan. Mafosan pernah diperkenalkan ke Korea, Jepun, Maghribi dan negara-negara lain.

Hua Tuo juga telah mencipta kaedah perubatan menerusi latihan badan. Beliau berpendapat setiap orang seharusnya menjalani latihan sukan untuk menyihatkan badan, mencegah dan mengubati penyakit. Beliau berkata, paksi pintu tidak akan reput kerana sentiasa bergerak dan air yang mengalir tidak akan busuk kerana sentiasa mengalir. Sama halnya dengan manusia yang sentiasa bergerak dan mengadakan latihan sukan jarang mengidap penyakit. Hua Tuo telah mencipta jimnastik dengan meniru gerak-geri 5 jenis binatang iaitu harimau, rusa, beruang, beruk dan burung. Melalui aktiviti gimnastik itu seseorang dapat menggerakkan otot dan sendi seluruh badannya. Murid Hua Tuo iaitu Wu Pu dan Fan A sentiasa melakukan aktiviti gimnastik dan ini menyebabkan badan mereka sangat sihat dan kuat. Wu Pu mempunyai pendengaran dan penglihatan yang baik semasa beliau berusia lebih 90 tahun, manakala Fan A hidup melebihi usia 100 tahun. Aktiviti gimnastik yang dicipta oleh Hua Tuo itu telah kekal hingga sekarang dan merupakan sejenis aktiviti latihan badan yang digemari oleh rakyat China.

Hua Tuo juga telah menjalankan kajian dalam bidang penyakit parasit, psikologi dan penyakit tua. Beliau telah mencapai kejayaan dalam bidang tersebut. Malangnya buku kedoktoran yang ditulis oleh Hua Tuo telah hilang. Berdasarkan "Catatan tentang 3 Negeri Wei Shu dan Wu" yang diterbitkan pada zaman silam China, Cao Cao, Raja Negeri Wei pada zaman Dinasti Han Timur telah memenjarakan Hua Tuo. Dalam tempoh dipenjarakan itu, Hua Tuo telah menulis "Qingnangjing", karya perubatan yang terdiri daripada 3 jilid. Beliau berharap kepakarannya dalam bidang kedoktoran akan dapat dikekalkan selepas beliau meninggal dunia, akan tetapi buku-buku tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar daripada penjara. Hua Tuo telah dibunuh oleh Cao Cao. Sekarang terdapat beberapa hasil karya perubatan yang kononnya telah ditulis oleh Hua Tuo. Walau bagaimanapun pakar terkenal yang telah mengenal pasti buku tersebut berdasarkan penyelidikan mendapati bahawa buku-buku tersebut bukan buku sebenar yang ditulis oleh Hua Tuo. Murid-murid Hua Tuo iaitu Wu Pu dan Li Dangzhi bukan saja mempunyai kepakaran kedoktoran yang tinggi, bahkan juga telah menghasilkan banyak karya kedoktoran yang bertaraf tinggi.

Hua Tuo telah berusaha mengubati penyakit untuk rakyat jelata semasa hayatnya. Rakyat China menghormati dan menyanjung tinggi akan usaha beliau. "Hua Tuo yang hidup" merupakan pujian tertinggi yang diberikan oleh rakyat kepada doktor yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang perubatan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China