Cari:
Legenda Lima Buah Gunung Dewa
2009-02-11 13:23:48 CRI Cetak

Kononnya, selepas Dewi Nu Wa mencipta manusia, umat manusia hidup dengan aman dan sentosa. Namun, tiba-tiba, pada suatu hari, langit dan bumi berlanggaran, lalu muncullah satu rekahan yang besar di langit. Bumi turut merekah dan runtuh. Api keluar dari bawah tanah, dan memusnahkan hutan. Banjir besar pula berlaku di merata-rata tempat sehingga menenggelamkan gunung-ganang di bumi. Hantu dan binatang liar berkeliaran. Keadaan ini mendatangkan kesengsaraan kepada seluruh umat manusia.

Ketika melihat manusia hidup begitu sengsara, dewi Nu Wa pun membantu mereka membunuh hantu dan binatang liar yang jahat, menangani bencana alam, dan kemudian, melaksanakan projek besar, iaitu menampal rekahan di langit.

Dia mengumpulkan banyak kayu dari merata-rata tempat, dan mengangkutnya ke tempat yang ada rekahan itu. Kayu tersebut ditimbunkannya sehingga setinggi langit. Kemudian, dia pergi mencari batu berwarna biru yang warnanya mirip warna langit. Disebabkan batu jenis ini jarang ditemui, dia terpaksa memungut sejumlah batu lain yang berwarna putih, kuning, merah dan hitam, lalu meletakkan kesemuanya di atas longgokan kayu tadi.

Dengan menggunakan api yang keluar dari bawah tanah itu, Dewi Nu Wa menyalakan kayu tersebut. Api yang menyala itu telah menerangi udara. Batu berwarna-warni yang hangus terbakar menjadi lebur, bagaikan air sirap mengalir ke dalam rekahan di langit itu. Dengan yang demikian, rekahan yang besar itu berjaya ditampal.

Walaupun langit dan bumi yang rosak itu telah diperbaiki, namun, bentuk asalnya tidak mungkin dipulihkan lagi. Langit di sebelah barat laut kelihatan agak senget. Oleh itu, matahari dan bulan bergerak ke arah itu. Terdapat pula sebuah lubang yang agak besar di bumi, di sebelah tenggara, menyebabkan air sungai mengalir ke arah itu. Lama-kelamaan, tempat itu pun menjadi laut.

Di sebelah timur Laut Bohai, terdapat sebuah lurah yang sangat dalam. Namanya "Gui Xu". Air dari sungai atau laut mengalir ke lurah itu. Bagaimanapun, air dalam lurah itu tidak bertambah dan juga tidak berkurangan. Oleh itu, ia tidak akan melimpah dan menenggelami bumi.

Terdapat 5 buah gunung dewa yang tinggi di dalam lurah "Gui Xu" ini, iaitu "Dai Yu", "Yuan Qiao", "Fang Hu", "Ying Zhou" dan "Peng Lai". Di puncak setiap gunung, telah terbina istana yang berkilau keemasan, yang dihuni oleh dewa-dewi.

Di gunung dewa tersebut, semua burung dan haiwan liar berwarna putih. Di sana, juga banyak pokok yang aneh tumbuh. Buah-buahan yang dihasilkan oleh pokok-pokok tersebut berupa jed dan mutiara, yang rasanya sangat enak. Manusia biasa dikatakan boleh panjang umur jika memakan buah-buahan itu. Dewa dewi yang menghuni gunung tersebut, semuanya memakai baju yang putih, dan mempunyai dua sayap yang kecil. Mereka yang berterbangan bagaikan burung, berulang alik antara kelima-lima buah gunung tersebut untuk menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, hidup dengan aman dan gembira.

Bagaimanapun, dewa dewi juga mempunyai kerisauan. Disebabkan kelima-lima buah gunung dewa tersebut terapung-apung di atas laut, jika dilanda angin kencang, gunung tersebut akan hanyut dibawa oleh arus laut yang deras. Keadaan ini memang amat menyusahkan. Jadi, mereka menghantar wakil ke kayangan untuk meminta bantuan daripada maharaja. Maharaja di kayangan juga bimbang jika gunung dewa tersebut hanyut ke tempat yang lain, anak buahnya akan kehilangan tempat tinggal. Oleh itu, baginda mengarahkan dewa laut, iaitu "Yu Qiang" supaya menghantar 15 ekor kura-kura yang besar untuk mendukung 5 buah gunung dewa tersebut. Setiap gunung itu digendong oleh seekor kura-kura, dan dua ekor yang lain berkawal di sebelah kiri dan kanan. Mereka bergilir 60 ribu tahun sekali. Dengan yang demikian, tapak kelima-lima buah gunung dewa tersebut menjadi kukuh, dan dewa dewi terus tinggal di sana dengan gembira.

Tiba-tiba, pada suatu hari, seorang gergasi dari Negeri Long Bo datang memancing ikan di Lurah Gui Xu. Gergasi itu sangat besar, tubuhnya setinggi gunung. Dia telah memancing 6 ekor kura-kura yang besar dari dasar laut itu. Kebetulan, keenam-enam ekor kura-kura itu merupakan kura-kura yang bertugas mendukung gunung dewa. Gergasi itu membawa kura-kura yang dipancingnya pulang ke kampung. Dua buah gunung dewa yang kehilangan kura-kura pendukungnya, iaitu "Dai Yu" dan "Yuan Qiao" telah hanyut dibawa air dan angin kencang ke kutub utara, lalu tenggelam dalam laut. Dewa dewi yang tinggal di kedua-dua buah gunung itu terpaksa meninggalkan istana mereka.

Apabila mengetahui hal itu, maharaja di kayangan naik berang dan mengecilkan tubuh gergasi di Negeri Long Bo itu. Hingga sekarang, menurut ceritanya, ketiga-tiga buah gunung dewa yang lain yang terus digendong oleh kura-kura tersebut, masih tersergam megah di kawasan perairan di sebelah timur China.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China