Cari:
Mengzi
2009-02-11 14:56:31 CRI Cetak

Mengzi, yang hidup pada zaman Negeri-negeri Berperang, iaitu abad ke-4 sebelum Masihi, merupakan salah seorang daripada sekumpulan ahli fikir China yang memegang teguh kepercayaan Konfusianisme. Beliau telah mewarisi dan mengembangkan falsafah Confucius sehingga falsafah itu berkembang menjadi sistem ideologi yang lengkap. Fikiran Mengzi telah melahirkan pengaruh yang besar kepada generasi yang selepasnya.

Mengzi telah mewarisi falsafah Confucius dan menganjurkan pentadbiran berhemah. Pada satu pihak, beliau menetapkan perbezaan kedudukan antara kaum pemerintah dengan kaum yang diperintah, dan mencadangkan supaya membentuk sistem hierarki dan tatatingkat yang bermula daripada maharaja hinggalah kepada rakyat jelata. Pada pihak lain, beliau berpendapat bahawa kaum pemerintah sepatutnya memberikan perhatian kepada keperitan hidup rakyat sebagaimana ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka, dan rakyat pula sepatutnya mematuhi dan berkhidmat kepada kaum pemerintah seumpama anak mematuhi ibu bapa.

Berdasarkan pengalaman sejarah, Mengzi telah membuat kesimpulan tentang hukum kemakmuran dan kemunduran pelbagai negeri. Beliau telah mengeluarkan pandangan yang mempunyai unsur demokratik, iaitu rakyat jelata sepatutnya diutamakan. Negara mempunyai kedudukan di bawah rakyat jelata, manakala maharaja pula mempunyai kedudukan di bawah negara.

Beliau juga menganggap etika mestilah berkait rapat dengan politik kerana etika merupakan asas bagi mewujudkan kestabilan dan pembangunan sesebuah negara. Menurut pandangan beliau, setiap lapisan masyarakat mempunyai standard etika dan moral masing-masing. Sekiranya setiap anggota masyarakat menggunakan perkataan dan tindakan masing-masing berdasarkan standard etika dan moral yang ditetapkan untuk lapisan masyarakatnya, maka susunan masyarakat akan menjadi teratur.

Pandangan Mengzi tidak diakui atau disanjung oleh pihak berkuasa pada zamannya, sebaliknya telah melahirkan pengaruh besar dalam bidang politik, ideologi, kebudayaan dan moral dalam sejarah China selepas itu.

Mengzi pernah melawat beberapa banyak negeri untuk memperkenalkan teori pentadbiran berhemah itu. Namun, cadangannya tidak diterima oleh raja negeri-negeri yang berkenaan sebab mereka sedang sibuk melancarkan perang terhadap negeri-negeri lain untuk meluaskan kuasa masing-masing, dan mereka menganggap cadangan Mengzi itu sebagai fahaman yang kolot.

Akhirnya, Mengzi menjadi seorang guru di sekolah. Beliau bersama-sama dengan pelajarnya telah menulis "Mengzi". Dalam buku tersebut tercatat ucapan Mengzi dan perdebatan antara beliau dengan tokoh keilmuan lain. Buku itu disanjung sebagai kitab penting bagi falsafah Konfusianisme hingga ke masa ini.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China