Cari:
Zhu Xi, Sarjana Tersohor dalam Sejarah China
2009-02-25 13:44:37 CRI Cetak

Zhu Xi dianggap sebagai ahli falsafah dan ahli pendidikan yang paling ulung selepas Konfusius dalam sejarah China. Beliau dilahirkan pada tahun 1130 Masihi dalam satu keluarga intelektual. Walaupun keluarganya tidak begitu berada, tetapi semasa kanak-kanak beliau telah diberi ajaran tentang Falsafah Konfusius oleh bapanya. Kemudian, beliau meninggalkan kampung halamannya di Jiangxi dan pergi ke Gunung Wuyi di Fujian untuk meneruskan pelajarannya terhadap Falsafah Konfusius.

Semasa berusia 19 tahun, Zhu Xi telah lulus daripada peperiksaan kerajaan dengan markah yang tinggi dan mendapat kelayakan untuk dilantik sebagai pegawai. Namun demikian, dalam masa lebih 40 tahun selepas itu, Zhu Xi hanya beberapa kali dilantik sebagai pegawai tempatan yang tidak penting. Ini menyebabkan beliau mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan kajian ilmiah, menulis buku dan memberi syarahan.

Pencapaian yang paling penting yang dicapai oleh Zhu Xi ialah beliau telah mengembangkan Falsafah Li. Falsafah Li merupakan falsafah utama di China pada masa selepas abad ke-12 yang dibentuk berasaskan Falsafah Konfusius. Falsafah Konfusius dicipta oleh Konfusius pada abad ke-5 sebelum Masihi. Selepas Agama Buddha diperkenalkan ke China, ada kalangan penguasa pelbagai dinasti China yang menyanjung Agama Buddha dan ada yang menggemari Agama Tao, sejenis agama tradisional China. Hal ini memberi kesan iaitu rakyat jelata telah mencampuradukkan Falsafah Konfusius dengan Agama Buddha dan Agama Tao, manakala kebenaran Falsafah Konfusius hanya diwariskan oleh sejumlah kecil sarjana. Pada awal abad ke-11, sarjana Falsafah Konfusius yang terkenal iaitu dua beradik Cheng Hao dan Cheng Yi telah mencipta Falsafah Li berasaskan Falsafah Konfusius yang bertujuan untuk mengubahsuaikan Falsafah Konfusius.

Zhu Xi telah mengembangkan Falsafah Li dan membentuk falsafahnya sendiri dengan memadukan keunggulan daripada Falsafah Konfusius, Agama Buddha dan Agama Tao. Falsafahnya digelar sebagai Falsafah Zhuzi. Falsafah Zhuzi beranggapan bahawa kosmos dan dunia manusia dibentuk oleh Li dan Qi. Qi merupakan material bagi segala benda dan perkara, manakala Li merupakan hakikat dan fitrah daripada sebarang benda dan perkara. Qi wujud dengan berasaskan Li. Ini merupakan pandangan idealisme yang objektif. Zhu Xi telah mengemukakan siri pandangan tentang Falsafah Zhuzi yang rapi dan sempurna.

Satu pencapaian penting lain yang dicapai oleh Zhu Xi ialah penyusunan semula dan penjelasan yang dibuat oleh beliau terhadap empat buah buku klasik Falsafah Konfusius terkenal iaitu buku-buku "Yi", "Shu", "Shi" dan "Li". Berdasarkan pengkajian dan hasil penyusunan semula terhadap keempat-empat buah buku tersebut dalam masa yang panjang, Zhu Xi telah menulis "Penjelasan terhadap Empat Buku" yang termasyhur. Buku itu menjadi buku yang wajib dibaca oleh setiap pelajar dan pujangga di China dalam masa beberapa ratus tahun selepasnya.

Zhu Xi terkenal sebagai seorang pensyarah ulung. Beliau pernah memberi syarahan di beberapa institut yang termasyhur di China dan ramai orang mengikuti syarahannya. Idea pendidikan beliau telah melahirkan pengaruh penting yang menjangkau jauh dalam sejarah China.

Zhu Xi telah menulis sejumlah besar buku. Buku-buku itu membabitkan ilmu falsafah, kesusasteraan dan hampir semua subjek sains sosial dan sains fizikal. Beliau telah membuat sumbangan cemerlang terhadap perkembangan pelbagai bidang keilmuan dalam sejarah China.

Falsafah Zhuzi telah melahirkan pengaruh penting dalam perkembanghan kebudayaan China dan negara-negara Asia timur. Falsafah Zhuzi ditetapkan sebagai ideologi ortodoks oleh penguasa pelbagai dinasti China dalam masa selama lebih 700 tahun sebelum abad ke-20. Pada abad ke-13, Falsafah Zhuzi diperkenalkan ke Korea dan Jepun dan pernah dijadikan sebagai ideologi ortodoks di kedua-dua negara tersebut. Sekarang Falsafah Zhuzi telah menjadi pengkajian keilmuan antarabangsa.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China