Cari:
Wang Xizhi, Ahli Kaligrafi Tersohor Pada Zaman Silam China
2009-03-11 14:22:40 CRI Cetak

Perkataan Mandarin mempunyai susunan yang unik dan cara penulisan yang istimewa. Sehubungan dengan itu, tulisan China yang menggunakan berus dan dakwat pada kertas secara tradisional beransur-ansur menjadi seni kaligrafi semenjak tempoh peralihan dari zaman sebelum Masihi hingga ke zaman Masihi di China. Seni kaligrafi juga merupakan sejenis seni yang disanjung tinggi oleh para pujangga dan juga menduduki tempat terpenting dalam sejarah kesusasteraan China. Terdapat ramai ahli kaligrafi yang terkemuka dalam sejaran China. Wang Xizhi merupakan salah seorang yang paling masyhur.

Wang Xizhi hidup pada abad ke-4 Masihi. Beliau berasal daripada sebuah keluarga ahli kaligrafi yang terkenal. Bapa saudaranya Wang Yi dan Wang Dao, abang dan adik iparnya Wang Tian dan Wang Qia merupakan ahli kaligrafi yang terkenal pada masa itu. Wang Xizhi mula berguru dengan Wei Shuo, ahli kaligrafi wanita yang tersohor sejak berusia 7 tahun sehingga berusia 12 tahun. Pada masa itu, tahap seni kaligrafi Wang Xizhi telah menjadi sangat tinggi.

Di kebanyakan tempat yang berpemandangan indah seperti gunung dan sungai yang ternama, terdapat banyak ukiran kaligrafi yang ditulis oleh ahli kaligrafi tersohor. Kaligrafi itu diukir pada lereng-lereng gunung atau tugu-tugu batu. Demi meningkatkan tahap seni kaligrafi, Wang Xizhi telah mengunjungi pelbagai tempat yang berpemandangan indah. Beliau dengan bersungguh-sungguh menyalin kaligrafi yang ditulis oleh ahli kaligrafi tersohor dan berulang kali menjalankan latihan menulis kaligrafi. Lama-kelamaan, beliau telah memperoleh banyak bahan kaligrafi. Katanya, meja dan bangku diletakkan di mana-mana di dalam rumahnya seperti di dalam bilik dan pekarangan malah di luar bilik air dan peralatan kaligrafi seperti berus, dakwat dan kertas juga disediakan pada meja-meja tersebut. Apabila beliau mendapat sesuatu ilham inspirasi tentang kaligrafi, beliau menulisnya dengan serta-merta.

Wang Xizhi berpendapat bahawa memelihara angsa bukan sahaja dapat menambah kegembiraan dalam kehidupan, tetapi juga bermanfaat bagi mendapat ilham dalam seni kaligrafi tentang cara yang lebih baik untuk mencoret perkataan Mandarin yang mempunyai keistimewaannya berdasarkan gerak-geri angsa itu.

Pada suatu hari, Wang Xizhi menampak seorang wanita tua sedang menjual kipas yang diperbuat daripada buluh di tepi jalan. Walaupun harga kipas buluh itu sangat murah, tetapi tidak ada yang membeli kipas itu. Wang Xizhi telah menulis lima perkataan Mandarin pada setiap kipas tersebut dan memberitahu wanita tua itu bahawa selepas itu setiap kipas itu boleh dijual dengan harga sepuluh kali ganda lebih tinggi hanya dengan memberitahu pembeli bahawa kaligrafi pada kipas ini ditulis oleh Wang Xizhi. Kemudian, dalam masa sebentar sahaja semua kipas tersebut benar-benar habis dijual walaupun dengan harga yang tinggi.

Kaligrafi yang ditulis oleh Wang Xizhi yang paling terkenal ialah Pendahuluan Koleksi Sajak Lanting. Berdasarkan catatan buku sejarah, terdapat adat resam dalam kalangan rakyat China iaitu orang ramai bersiar-siar di tepi sungai pada hari ketiga dalam bulan ke-3 kalendar tradisional China setiap tahun bagi menolak bala. Pada hari ketiga dalam bulan ke-3 tahun 353 kalendar China, Wang Xizhi dan 40 orang ahli kaligrafi serta penyair tersohor yang lain bersiar-siar di tepi sungai sektor Lanting. Mereka menulis sajak sambil minum arak dan kesemua mereka berasa sangat gembira. Ada yang mencadangkan supaya sajak-sajak yang ditulis oleh mereka itu dikoleksikan dan dinamakan Koleksi Sajak Lanting. Mereka menganjurkan supaya Wang Xizhi menulis pendahuluan untuk koleksi sajak itu. Semasa itu, Wang Xizhi sudah mabuk, beliau telah menulis pendahuluan sajak itu dalam keadaan mabuk. Oleh sebab pada masa itu beliau dalam keadaan yang gembira, maka kaligrafi itu ditulis dengan begitu baik.

Pendahuluan Koleksi Sajak Lanting yang ditulis oleh Wang Xizhi itu terdiri daripada 28 baris dengan 324 patah perkataan. Kaligrafi itu disanjung tinggi oleh ahli kaligrafi dalam zaman yang berbeza di China. Lebih 300 tahun selepas itu, Maharaja Li Shimin pada zaman Dinasti Tang sangat menggemari akan kaligrafi yang ditulis oleh Wang Xizhi itu. Baginda menghadiahkan salinan kaligrafi itu sebagai hadiah berharga kepada pembesar-pembesar, manakala kaligrafi yang sebenar dikuburkan bersama-sama dengan Maharaja Li Shimin selepas baginda mangkat. Walaupun karya kaligrafi Pendahuluan Koleksi Sajak Lanting yang ada pada masa sekarang hanya merupakan salinan sahaja, namun sangat dihargai oleh ahli kaligrafi China.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China