Cari:
Feng Menglong, Novelis Tersohor pada Zaman Silam China
2009-03-27 13:12:44 CRI Cetak
Pada zaman purba di China, gaya bahasa dalam bentuk tulisan adalah jauh berbeza dengan bahasa lisan. Para pujangga menulis dalam bahasa tulisan. Mereka yang menulis karya kesusasteraan lisan sentiasa dianggap sebagai kesusasteraan tidak rasmi. Manakala Feng Menglong merupakan seorang penulis karya kesusasteraan lisan dengan pendekatan popular yang tersohor dalam sejarah China.

"Cik Dushiniang Campak Barang Kemas ke Sungai" yang ditulis oleh Feng Menglong pada abad ke-17 merupakan salah sebuah cerpen yang terbaik dalam sejarah kesusasteraan China. Cerpen itu terkenal kerana menggambarkan seorang pelacur yang adil tetapi bernasib malang.

Penggubahan karya kesusasteraan secara lisan diakui secara rasmi di China semenjak Gerakan Kebudayaan Baru iaitu pada awal abad ke-20. Feng Menglong telah menjadi sasterawan penting yang terkenal dengan hasil karya kesusasteraan lisannya pada zaman Dinasti Ming China iaitu lebih awal 300 tahun lebih daripada Gerakan Kebudayaan Baru China.

Feng Menglong dilahirkan pada tahun 1574 di bahagian selatan China. Beliau telah memperlihatkan bakatnya sejak beliau kanak-kanak lagi. Beliau sangat mementingkan kedudukan jawatan, tetapi sehingga berusia 61 tahun, beliau hanya menjawat jawatan sebagai pegawai rendah. Walaupun demikian, beliau telah memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam bidang kesusasteraan.

Cik Dushiniang ialah watak utama dalam cerpennya yang bertajuk "Cik Dushiniang Campak Barang Kemas ke Sungai" iaitu seorang pelacur. Walaupun kedudukan sosialnya rendah, tetapi dia mengharapkan cinta yang murni. Setelah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bernama Li Jia, dia berusaha membayar wang tebusan dalam jumlah yang besar dan berjaya membebaskan dirinya daripada kegiatan pelacuran. Percintaan antara mereka tidak direstui oleh orang tua Li Jia dan biaya sara hidupnya juga diberhentikan oleh orang tua Li Jia atas faktor itu.

Demi menguji cinta Li Jia kepadanya, Cik Dushiniang memberikan bantuan biaya sara hidup kepada Li Jia secara diam-diam tanpa memberitahu Li Jia bahawa dia mempunyai barang kemas yang bernilai tinggi. Cik Dushiniang hanya ingin mendapatkan cinta sejati daripada Li Jia dan bukan disebabkan wang atau kedudukan sosialnya. Tetapi malangnya, Li Jia tidak tahan dengan tekanan keluarganya dan atas nasihat seseorang yang berniat jahat, dia telah menjual Cik Dushiniang kepada orang lain. Cik Dushiniang berasa sangat sedih dan marah. Di hadapan Li Jia, Cik Dushiniang mencampakkankan barang kemasnya yang bernilai tinggi satu demi satu ke dalam sungai dan akhirnya dia juga terjun ke dalam sungai itu. Jalan cerita cerpen ini berliku-liku dan menarik, nilai estetiknya amat tinggi, dan telah memperlihatkan rasa simpati Feng Menglong terhadap rakyat jelata yang hidup sebagai golongan bawahan pada waktu itu.

Kebanyakan karya Feng Menglong menggunakan watak rakyat jelata sebagai watak utama dalam penceritaannya. Karya-karya tersebut sangat menarik. Selain novel dan cerpen, beliau juga mementingkan penggubahan drama dan karya sastera popular yang juga dikenali sebagai sastera rakyat.

Antara karya yang ditulis oleh Feng Menglong ialah "Tamsil Kiasan", "Tamsil Pengajaran" dan "Tamsil Amaran" adalah yang paling terkenal. Tiga "tamsil" yang terdiri daripada 120 buah cerita itu menempati kedudukan istimewa dalam sejarah kesusasteraan China.

"Cik Dushiniang Campak Barang Kemas ke Sungai" juga merupakan salah sebuah cerita daripada tiga "tamsil" tersebut. Kebanyakan cerita daripada ketiga-tiga "tamsil" tersebut telah menggambarkan kehidupan sehari-hari, etika, nilai moral, cinta dan rasa persahabatan dalam kalangan masyarakat yang hidup sebagai golongan bawahan di bandar. Ketiga-tiga "tamsil" tersebut telah memperoleh pencapaian tertinggi dalam penghasilan cerpen secara lisan dan telah melahirkan pengaruh yang mendalam terhadap perkembangan kesusasteraan China. Banyak cerita daripada ketiga-tiga "tamsil" tersebut telah disadur sebagai opera Peking dan opera Kun.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China