Cari:
Li Shizhen, Doktor Tradisional pada Zaman Silam China
2009-04-15 16:25:46 CRI Cetak

Perubatan tradisional China telah berkembang sejak awal dulu. Terdapat ramai doktor tradisional yang terkenal dalam sejarah perubatan tradisional China selama beberapa ribu tahun yang lalu. Li Shizhen bukan saja merupakan doktor tradisional China yang tersohor, tetapi juga seorang ahli sains terkenal yang diiktiraf di arena antarabangsa.

Li Shizhen dilahirkan pada tahun 1518 Masihi di Hubei, selatan China. Kampung halamannya terletak di kawasan pergunungan, pemandangan alam di sana sangat indah dan ramuan herba-herba banyak dikeluarkan di sana. Datuk dan bapa Li Shizhen ialah doktor tradisional. Semasa kecil, bapanya sentiasa membawa Li Shizhen ke gunung untuk memetik herba-herba dan memperkenalkan pengetahuan tentang herba-herba tersebut. Dengan berbuat demikian, Li Shizhen beransur-ansur telah berminat terhadap perubatan dan ramuan herba-herba. Bagaimanapun bapanya tidak membenarkan Li Shizhen mempelajari ilmu perubatan disebabkan kedudukan doktor agak rendah dalam masyarakat feudal. Bapanya berhasrat Li Shizhen mengikuti peperiksaan kerajaan agar melayakkan diri sebagai seorang pegawai kerajaan.

Dengan desakan bapanya, Li Shizhen mengikuti pelajaran dengan giat selama beberapa tahun. Akan tetapi, Li Shizhen telah gagal sebanyak tiga kali dalam peperiksaan tersebut. Dengan berat hati, bapanya terpaksa membenarkan Li shizhen mempelajari ilmu perubatan dengannya. Semenjak itulah, Li Shizhen mempelajari secara bersungguh-sungguh ilmu perubatan dengan bapanya sambil menyelidik sejumlah besar buku perubatan klasik yang diterbitkan oleh doktor-doktor tradisional yang tersohor pada zaman yang sudah-sudah. Berdasarkan ketekunannya mengikuti pengajaran yang diberikan oleh bapanya dalam bidang perubatan selama bertahun-tahun, Li Shizhen telah mencapai kemajuan dengan cepat dan telah menjadi doktor secara rasmi semasa berusia 22 tahun.

Pada tahun 1537, bencana banjir telah berlaku di kampung halaman Li Shizhen, wabak dan penyakit menular selepas bencana itu. Li Shizhen dan bapanya telah merawati ramai pesakit sama ada siang atau malam tanpa menghiraukan keletihan. Mereka telah mendapat pujian orang awam.

Li Shizhen semakin hari semakin terkenal disebabkan kemahiran perubatan beliau yang meningkat dari sehari ke sehari. Beliau bukan sahaja telah merawat ramai pesakit yang terdiri daripada orang awam, tetapi juga telah merawat pesakit daripada kalangan istana maharaja. Maharaja telah melantik Li Shizhen sebagai Pegawai Perubatan kerajaan. Walaupun Li Shizhen dilantik sebagai Pegawai Perubatan kerajaan, beliau sentiasa berkhidmat untuk merawat penyakit orang awam. Semasa menyelidik kitab-kitab ilmu perubatan, Li Shizhen juga sentiasa membetulkan kesalahan dalam kitab-kitab tersebut berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya dalam bidang perubatan.

Li Shizhen telah menulis banyak buku ilmu perubatan, tetapi kebanyakannya telah hilang. Buku yang ditulis oleh beliau yang paling terkenal dan dikekalkan sampai sekarang ialah Koleksi Ramuan Herba Perubatan.

Li Shizhen menyusun dan menulis Koleksi Ramuan Herba Perubatan menggunakan masa selama kira-kira 30 tahun. Dalam buku itu, Li Shizhen telah menyimpulkan teori perubatan orang dahulu serta hasil pengkajian dan pengalaman perubatan beliau yang amat kaya. Koleksi Ramuan Herba Perubatan terdiri daripada 52 jilid. Koleksi Ramuan Herba Perubatan itu telah mencatatkan 1892 jenis herba dengan 1160 buah lukisan. Selain itu, buku itu telah mengumpulkan 11096 buah resipi. Buku itu telah membuat penjelasan tentang tempat keluaran, rupa, cara pemetikan dan penanaman, fungsi, sifat dan peranan pelbagai herba. Dengan menulis buku tersebut, Li Shizhen telah membuat sumbangan yang amat besar sekali dalam bidang perubatan tradisional China dengan membetulkan kesalahan catatan oleh orang terdahulu tentang rupa, fungsi dan peranan sesetengah herba dan menyediakan lukisan tentang herba itu secara saintifik.

Selain memperoleh pencapaian cemerlang dalam bidang ilmu perubatan dan herba-herba, Li Shizhen juga merupakan salah seorang ahli sains terunggul dalam sejarah China yang pencapaiannya membabitkan bidang-bidang kimia, geologi, meteorologi dan lain-lain. Koleksi Ramuan Herba Perubatan telah diterjemahkan kepada bahasa Jepun, Latin, Jerman, Perancis, Inggeris, Rusia dan lain-lain dan telah diperkenalkan kepada seluruh dunia. Buku itu digelar sebagai "buku ilmu perubatan terbaik di Timur".

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China